KUALA LUMPUR 27 Mac - Keuntungan sebanyak RM2.9 bilion atau 52 sen sesaham dijangka diperoleh Genting Malaysia Bhd., jika hasil penjualan hartanah di Miami, Amerika Syarikat (AS) berjaya dijual pada harga AS$1 bilion (RM4.4 bilion).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam satu nota kajian berkata, Genting Malaysia dijangka membuat keputusan akhir dalam beberapa minggu akan datang.
Menurutnya, berdasarkan laporan Bloomberg, hartanah seluas 15.5 ekar milik Genting Malaysia itu menarik lima tawaran, masing-masing bernilai lebih daripada AS$1.1 bilion (RM4.4 bilion) dengan bidaan paling tinggi adalah hampir AS$1.5 bilion (RM6.6 bilion).
"Genting Malaysia melabur kira-kira AS$500 juta (RM1.5 bilion) antara Mei dan September 2011 untuk membeli hartanah berkenaan.
“Perlu diambil kira bahawa ringgit pada masa itu diniagakan pada RM3 berbanding AS$1 berbanding RM4.43 berbanding AS$1 sekarang," katanya Maybank IB
Genting Malaysia membeli hartanah itu pada harga kira-kira AS$236 juta pada 2011.
Ia pernah mengumumkan perancangan untuk membina enam menara, beberapa hotel dan unit kediaman di kawasan itu.
Syarikat itu ketika ini mengendalikan hotel Hilton Miami Downtown di lokasi hartanah berkenaan, namun ia hanya menyumbang kira-kira AS$4.8 juta (RM21.1 juta) atau kurang daripada 1% pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan pada tahun kewangan 2022.
Sementara itu, menurut Maybank IB, Genting Malaysia dijangka tidak akan mengembalikan pulangan daripada penjualan berkenaan kepada pemegang saham menerusi dividen khas.
Tambahnya, mereka mengekalkan anggaran perolehan, saranan 'beli' dan sasaran harga RM2.97 bagi saham Genting Malaysia, menunggu penjualan hartanah berkenaan dimuktamadkan. - DagangNews.com








