Gentari, City Energy kaji kebolehlaksanaan bina saluran paip hidrogen dari Malaysia ke Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gentari, City Energy kaji kebolehlaksanaan bina saluran paip hidrogen dari Malaysia ke Singapura

Ketua Pegawai Eksekutif City Energy, Perry Ong dan Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michele Azalbert (tiga dan empat dari kiri) di majlis pemeteraian perjanjian kajian kebolehlaksanaan bersama di Singapura, hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - Gentari Sdn Bhd dan City Energy Pte Ltd telah menandatangani perjanjian kajian kebolehlaksanaan bersama untuk membina saluran paip dari Malaysia ke Singapura bagi import hidrogen ke republik tersebut.

 

Pemeteraian perjanjian tersebut adalah susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada April 2023 antara kedua-dua syarikat terbabit.

 

City Energy merupakan pengeluar dan pembekal gas bandar berpaip tunggal di Singapura dan anak syarikat Keppel Infrastructure Trust, manakala Gentari ialah penyedia rumusan tenaga bersih Malaysia yang dimiliki sepenuhnya oleh Petronas.

 

Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, kajian itu akan dijalankan dalam tempoh 12 bulan.

 

Apabila mencapai kesimpulan kajian, kedua-dua pihak secara kolektif akan menentukan usaha selanjutnya berhubung pelaksanaan perjanjian reka bentuk kejuruteraan bahagian depan akhir (FEED).

 

Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michele Azalbert berkata kerjasama dengan City Energy merupakan langkah strategik untuk Gentari mempercepat penggunaan hidrogen bersih sebagai sumber tenaga berdaya maju untuk pelanggan di dalam dan luar Asia Pasifik.

 

“Seiring dengan matlamat kami untuk menghasilkan hidrogen bersih sehingga 1.2 juta tan setahun, Gentari berbesar hati menyumbang kepada usaha mempercepat pembangunan hidrogen bersih melalui infrastruktur rentas sempadan, menyokong matlamat Malaysia dan Singapura mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif City Energy, Perry Ong berkata kajian kebolehlaksanaan tersebut menekankan komitmen syarikat menyediakan tenaga mampan kepada isi rumah dan perniagaan untuk generasi akan datang dan bagi menyokong usaha Singapura mengurangkan pelepasan dan menangani perubahan iklim.

 

Hidrogen ialah komponen terbesar dalam gas bandar yang dihasilkan di kilang Senoko Gasworks City Energy di utara Singapura, menjadikan City Energy sebagai salah satu pengedar hidrogen terakhir terbesar di Singapura.

Sebarang saluran paip yang bakal diwujudkan akan membekalkan hidrogen ke kilang Senoko Gasworks.

 

Kerjasama dengan Gentari diikuti usaha City Energy melakukan kajian kebolehlaksanaan berterusan dengan rakan kongsi industri dan institut pengajian tinggi terkemuka untuk meneroka sumber hidrogen alternatif.

 

Sejak 1991, Singapura telah mengimport gas asli dari Malaysia melalui saluran paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) sepanjang 2,623 kilometer, dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat sekutu Gentari, Petronas Gas Bhd.  - DagangNews.com