Gentari bakal sedia penyelesaian pengecasan untuk pengguna Proton | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gentari bakal sedia penyelesaian pengecasan untuk pengguna Proton

Kemudahan pengecasan yang disediakan Gentari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Gambar : Facebook Gentari
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Okt - Pembekal penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn. Bhd., menandatangani memorandum persefahaman Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) untuk memanfaatkan keupayaan kedua-dua pihak dan memacu pertumbuhan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di Malaysia. 

 

Kerjasama dengan anak syarikat Proton itu membolehkan Gentari menyediakan penyelesaian pengecasan yang lebih meluas dan lengkap melalui rangkaian pengedar Proton di seluruh negara demi meningkatkan kemudahan kepada pengguna jenama kenderaan itu di Malaysia. 

 

Sehingga kini, entiti milik penuh Petronas itu telah memasang lebih 225 kemudahan pengecasan di Malaysia dan India, seterusnya memperkukuhkan lagi keyakinan terhadap penggunaan EV.

 

 

gentari
Majlis menandatangani memorandum persefahaman yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik, hari ini.

 

 

Ketua Peralihan Penyelesaian Tenaga Bersih Petronas, Shah Yang Razalli berkata, susulan pelancaran rasminya pada bulan lalu, Gentari kini mempergiatkan usaha perniagaannya  menerusi jalinan kerjasama dengan pelbagai pemain industri. 

 

"Gentari berhasrat untuk memenuhi keperluan tenaga lestari dengan mengubah cara hidup hari ini untuk menjamin masa depan. 

 

"Usaha sama dengan PRO-NET ini akan memberi manfaat jangka panjang dalam menyokong peralihan kepada pengangkutan mampan di Malaysia dengan mengutamakan perkembangan sepadu ke arah menjadikan kos penggunaan EV lebih berpatutan dan mudah diakses," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis menandatangani MoU itu diadakan sempena Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau & Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2022. 

 

Gentari diwakili oleh Shah Yang Razalli manakala PRO-NET diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zhang Qiang yang disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

 

Kerjasama antara Gentari dan PRO-NET menyokong aspirasi Dasar Tenaga Negara (DTN) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara rendah karbon menjelang 2040 menerusi peningkatan perkongsian peratusan EV daripada 1% pada 2018 kepada 38% menjelang 2040.

 

Sementara itu, Zhang Qiang berkata, kerjasama itu akan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur pengecasan di Malaysia. - DagangNews.com