Gempa bumi Turkiye: MAHB bantu mudah cara operasi penerbangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gempa bumi Turkiye: MAHB bantu mudah cara operasi penerbangan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberikan komitmen penuh untuk memudahkan semua penerbangan menyelamat dan operasi kargo melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) kendaliannya, susulan gempa bumi kuat melanda tenggara Türkiye, awal pagi semalam. 

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, operasi penerbangan menyelamat pertama berlepas pada 8.41 pagi waktu tempatan dan enam penerbangan penyelamat lain telah berlepas dari ISG dengan membawa seramai 1,400 anggota pasukan penyelamat.

 

"Kami turut berduka cita dengan tragedi baru-baru ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi itu. Kami akan terus menghulurkan semua bantuan yang diperlukan.

 

 

75 anggota SMART untuk operasi mencari dan menyelamat di Turkiye. - Gambar FB Nadma
75 anggota SMART yang dihantar untuk operasi mencari dan menyelamat di Turkiye. - Gambar Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

 

 

"Kami juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar untuk memberikan bantuan tambahan dalam bentuk penginapan transit di hotel Lapangan Terbang ISG kepada 75 Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebelum ditempatkan di kawasan terjejas," katanya dalam satu kenyataan.

 

ISG adalah salah satu daripada dua lapangan terbang yang ditetapkan oleh kerajaan Turki untuk berfungsi sebagai hab penyelamat dan logistik. 

 

Terminal Penerbangan Am di ISG kini digunakan sebagai pusat pengurusan krisis dengan lapangan terbang menyediakan semua sokongan yang diperlukan termasuk makanan untuk pasukan penyelamat.

 

Menurut laporan media, gempa bumi tersebut menggegarkan tenggara Turkiye pada magnitud 7.8 dan turut dirasai wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran, Lubnan dan Syria.

 

Setakat pagi ini, dilaporkan jumlah kematian akibat bencana itu melebihi 3,800 korban di Turkiye dan Syria. - DagangNews.com