Gas Malaysia diunjur catat untung bersih RM88 juta pada 4QFY23 didorong jumlah jualan dan harga gas lebih tinggi – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gas Malaysia diunjur catat untung bersih RM88 juta pada 4QFY23 didorong jumlah jualan dan harga gas lebih tinggi – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb - Kenanga Research mengunjurkan keuntungan bersih Gas Malaysia Bhd bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) mencecah RM88 juta didorong oleh jumlah jualan lebih tinggi daripada sektor sarung tangan getah dan harga jualan gas yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 3% suku ke suku itu akan menjadikan pendapatan setahun penuh bagi tahun kewangan 2023 (FY23) berjumlah RM367 juta.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘market perform’ ke atas syarikat itu dengan harga sasaran (TP) RM3.33 sesaham berdasarkan 6.5% kos purata wajaran modal (WACC) dan 2% pertumbuhan terminal (TG).

 

Ia juga mengekalkan andaian margin FY23 hingga FY24 sebanyak RM2.80 hingga RM2.50 setiap juta unit terma British (mmbtu).

 

Kenanga Research turut menjangkakan jumlah jualan lebih baik secara berurutan sekitar 4% pada 4QFY23 memandangkan keadaan perniagaan bertambah baik terutamanya dalam sektor sarung tangan getah, yang menyaksikan kemerosotan trend jualan pada 2QFY23.

 

Jelasnya, sektor sarung tangan getah merangkumi lebih 30% daripada jumlah jualan kumpulan itu sebelum pandemik namun selepas pandemik ia hanya meliputi 20% daripada jumlah jualannya pada 3QFY23 akibat lebihan bekalan dan kejatuhan permintaan.

 

“Sebaliknya, harga jualan gas 4QFY23 juga berkemungkinan bertambah baik, memandangkan harga gas asli cecair Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) meningkat 5% kepada RM43.96/mmbtu pada suku ini daripada RM41.87/ mmbtu pada suku sebelumnya,” tambahnya.

 

Mengulas tentang prospek, Kenanga Research berpendapat bahawa Gas Malaysia akan kekal kukuh sebagai peruncit gas asli utama di Malaysia di samping keterlihatan pendapatannya kukuh, disokong oleh keupayaan untuk mengekalkan pelanggan, biasanya menerusi kontrak tiga tahun.

 

Firma penyelidikan itu juga berkata, penjanaan aliran tunai percuma Gas Malaysia kukuh menyokong hasil dividen lebih 6%.

 

Namun, firma itu mendedahkan bahawa Gas Malaysia kekurangan pemangkin memandangkan pendapatannya telah memuncak pada FY22 dengan penurunan harga gas.

 

Pada rehat tengah hari, saham Gas Malaysia ditutup tinggi 3 sen atau 0.9% kepada RM3.27, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM4.2 bilion. - DagangNews.com