Gamuda raih kontrak kejuruteraan mekanikal, elektrik dan paip bernilai RM929 juta bagi pusat data Taman Perniagaan Elmina | DagangNews Skip to main content

Gamuda raih kontrak kejuruteraan mekanikal, elektrik dan paip bernilai RM929 juta bagi pusat data Taman Perniagaan Elmina

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Gamuda Bhd menerusi Gamuda Engineering Sdn Bhd menerima kontrak bagi kerja-kerja kejuruteraan mekanikal, elektrik dan perpaipan bernilai RM928.6 juta daripada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd bagi pusat data berskala besar di Taman Perniagaan Elmina 1A.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman berkata, kontrak itu melibatkan kerja-kerja pemasangan, pengujian dan pentaulihan mekanikal, elektrik dan paip untuk pusat data tersebut.

 

"Kontrak itu akan dimulakan pada 1 Julai 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 9 September 2026," katanya.

 

Kumpulan itu berkata, pusat data bersakala besar di TamanPerniagaan Elmina 1A tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024.

 

Projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Gamuda dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Terdahulu, Sime Darby Property Bhd akan membina dan menyewakan sebuah pusat data berskala besar (dan bangunan-bangunan terkait) di Bandar Elmina kepada Pearl Computing Malaysia (sebuah anak syarikat Raiden APAC, iaitu sebahagian daripada syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat).

 

Sime Darby Property akan mengurus secara holistik reka bentuk dan pembangunan aset, termasuk perancangan dan pembinaan infrastruktur untuk memastikan kemudahan itu disesuaikan mengikut spesifikasi pemajak.

 

Projek itu dijangka pecah tanah pada suku kedua 2024, dengan penyiapan pembinaan disasarkan pada 2026.- DagangNews.com