Galak wakaf dalam pasaran modal Islam bagi pacu pembangunan sosioekonomi - SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Galak wakaf dalam pasaran modal Islam bagi pacu pembangunan sosioekonomi - SC

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan bekerjasama dengan ahli akademik dan pemegang kepentingan utama untuk menerbitkan edisi kedua buku wakaf SC, yang akan melengkapkan buku pertama yang diterbitkan pada 2014.

 

SC berkata, buku itu juga akan berfungsi sebagai salah satu rujukan utama pembangunan wakaf melalui pasaran modal Islam di samping Pelan Induk Waqaf Nasional yang akan dilancarkan hujung tahun ini.

 

"Buku wakaf pertama SC yang bertajuk Aset Wakaf: Pembangunan, Tadbir Urus dan Peranan Pasaran Modal Islam, membincangkan isu dan cabaran penting wakaf sambil mempromosikan pembangunan aset wakaf melalui pasaran modal Islam," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Terdahulu, SC dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti DRB-HICOM dan disokong oleh FGV Holdings BHD (FGV) mengakhiri Persidangan Wakaf dan Pasaran Modal Islam hari ini.

 

Persidangan dua hari yang dihadiri lebih 250 peserta itu bertemakan ‘Menzahirkan Potensi Wakaf melalui Pasaran Modal Islam’. 

 

Ia menghimpunkan pihak berkepentingan dalam ruang wakaf, termasuk penggubal dasar, agensi kerajaan, ahli akademik, penasihat Syariah, Majlis Agama Islam Negeri (SIRC) dan pengamal pasaran modal.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam ucaptamanya menekankan bahawa dinamik instrumen kewangan sosial Islam berstruktur wakaf berpotensi memberi sumbangan signifikan kepada peningkatan rangkuman kewangan.

 

Katanya, ia diiktiraf sebagai faktor penting dalam merealisasikan matlamat pembangunan mampan (SDG) seperti pembasmian kemiskinan dan pertumbuhan ekonomi.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin pula berkata, kewangan sosial Islam telah lama memainkan peranan dalam menggalakkan wakaf sebagai instrumen dalam agenda pembangunan sosioekonomi.

 

"Wakaf berpotensi besar untuk digunakan bagi mencapai matlamat pembangunan sosioekonomi dalam menangani kemiskinan, pengangguran, serta pembiayaan penjagaan kesihatan, pendidikan dan pembangunan infrastruktur," katanya.

 

 

sc
                  Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin

 

 

Perbincangan pada persidangan tersebut tertumpu kepada peluang bekerjasama bagi pihak berkepentingan dalam mengembangkan impak wakaf. 

 

Diskusi panel dan syarahan juga membincangkan pembaharuan asas dan peranan kewangan sosial Islam sebagai pemangkin dalam menangani cabaran masyarakat.


 
Sesi-sesi tersebut dikendalikan oleh peneraju industri kewangan sosial Islam seperti penerima Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam 2022, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie, Prof Dr Ashraf Md Hashim; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF), Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar dan ahli Majlis Penasihat Syariah (SAC) SC.

 

Persidangan itu diakhiri dengan perbincangan meja bulat tertutup yang disertai seramai 54 peserta termasuk kepimpinan Majlis Agama Islam Negeri, penggubal dasar, ahli akademik, Ahli SAC SC dan peserta pasaran modal.

 

Hasil daripada perbincangan tersebut akan dijadikan laporan strategik dengan cadangan untuk inisiatif praktikal dan berkesan bagi merapatkan dan memanfaatkan potensi wakaf dan ICM yang memacu pembangunan sosioekonomi. - DagangNews.com