FWD Takaful dan Arus Academy sasar perkasa 100,000 pelajar dengan kemahiran literasi kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FWD Takaful dan Arus Academy sasar perkasa 100,000 pelajar dengan kemahiran literasi kewangan

Fun(d) for Life bertujuan memperkasakan pelajar membuat keputusan yang bijak mengenai kewangan. - Gambar laman web Arus Academy
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mac - FWD Takaful Bhd dan Arus Academy melalui inisiatif pendidikan kewangan, Fun(d) for Life, menyasarkan untuk membantu 100,000 pelajar Malaysia dengan kemahiran literasi kewangan pada 2023. 

 

Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasakan pelajar membuat keputusan yang bijak mengenai kewangan dan membina masa depan kewangan yang lebih baik bagi diri sendiri dan keluarga mereka.

 

Fun(d) for Life akan bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 1,000 pendidik dan organisasi lain di seluruh Malaysia untuk menyediakan pendidikan literasi kewangan kepada pelajar termasuk menganjurkan bengkel, menyediakan sumber dalam talian dan alat interaktif.

 

Ketua Pegawai Strategi dan Pengedaran Digital FWD Takaful dan Pengasas inisiatif Fun(d) for Life, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata, pihaknya bangga memainkan peranan utama mempromosikan literasi kewangan dalam kalangan pelajar Malaysia. 

 

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa setiap pelajar layak mendapat akses kepada pengetahuan dan alat yang mereka perlukan untuk membuat keputusan yang bijak mengenai kewangan.

 

"Dengan memperkasakan 100,000 orang pelajar dengan kemahiran literasi kewangan, kami berharap untuk memberikan impak positif pada masa depan kewangan individu-individu ini dan negara kita," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pemimpin Program Fun(d) for Life, Alina Amir pula berkata, pihaknya sedar bahawa bukan mudah untuk sesiapa, terutama belia untuk mengamalkan tingkah laku kewangan yang baik. 

 

"Dengan menggunakan maklumat ini, kami menggabungkan pendekatan berdasarkan permainan untuk menggalakkan belia mengamalkan pelbagai tingkah laku kewangan yang baik," katanya.

 

Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan pendidik dan ibu bapa mereka serta organisasi di lapangan untuk memastikan ia menjadi tabiat masa panjang.

 

Terdahulu, pengumuman ini dibuat sempena pelancaran inisiatif Fun(d) for Life bagi Minggu Kewangan Global yang akan berlangsung dari 20 hingga 26 Mac 2023. 

 

Semasa Minggu Kewangan Global, Fun(d) for Life akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk belia, ibu bapa dan guru, termasuk bengkel dalam talian dan secara bersemuka, kuiz serta webinar.

 

Inisiatif ini akan bermula dengan penayangan dokumentari 'Fun(d) for Life's Untold Stories: Of Dreams & Money' yang 
menceritakan kisah suka dan duka di sebalik tabir bagi sembilan anak muda dari seluruh Malaysia yang bertanding di pentas kebangsaan. - DagangNews.com