Funding Socities, CGC Digital meterai MoU perkasa PMKS melalui jaminan pembiayaan bekalan digital pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Funding Socities, CGC Digital meterai MoU perkasa PMKS melalui jaminan pembiayaan bekalan digital pertama

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Funding Societies bekerjasama dengan CGC Digital bagi menyediakan jaminan kredit digital menerusi rumusan pembiayaan rantaian bekalan digital (DSCF) patuh syariah bagi menangani keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia, iaitu segmen paling kurang mendapat perhatian. 

 

Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani ini membuktikan komitmen kedua-dua pihak untuk bekerjasama bagi menjayakan projek Pembuktian Konsep (POC) dan menginovasikan produk yang boleh membuka akses pembiayaan lebih luas kepada PMKS berkenaan.

 

Menerusi kerjasama ini, CGC Digital akan membangunkan produk jaminan kredit digital baharu untuk CGC. 

 

Produk ini kemudian akan ditawarkan untuk pembiayaan sehingga RM4 juta sebagai permulaan, memanfaatkan sehingga 100 PMKS yang mempunyai kepercayaan kredit melalui penyelesaian DSCF Funding Societies yang terkemuka dalam industri, menggunakan data alternatif untuk menilai risiko kredit PMKS. 

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Funding Societies, Wong Kah Meng berkata, susulan penyertaan mereka dalam program jaminan Portfolio PKS CGC pada April tahun ini, pihaknya telah memperkukuhkan lagi kerjasama dengan CGC Digital. 

 

"Pendekatan yang mengutamakan digital atau digital-first approach menggunakan data alternatif, membolehkan PMKS mendapat akses yang lebih luas dan lebih mampu milik kepada jaminan digital dan pembiayaan transformatif," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Wong berkata, inovasi jaminan kredit CGC Digital milik CGC akan mengurangkan risiko kepada pelabur dan mengurangkan kos pembiayaan untuk PMKS. 

 

 

funding

 

 

"Dengan menggabungkan polisi industri kami untuk segmen barangan pengguna cepat laris (FMCG), pertanian, telekomunikasi, dan perdagangan borong dan runcit, kami dapat memberi perkhidmatan kepada lebih banyak PMKS yang membentuk segmen industri ini," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin pula berkata, pihaknya berjaya membuka satu lembaran baharu dalam kerjasama dengan Funding Societies. 

 

Katanya, MoU ini menandakan komitmen bersama untuk memupuk inovasi dan mencipta nilai bersama dengan PMKS. 

 

"CGC Digital berusaha menyediakan sebuah pasaran digital sehenti untuk PMKS mendapatkan akses yang lebih baik kepada pembiayaan dan bantuan yang lebih bersasar untuk mengembangkan perniagaan. 

 

"Oleh itu, kami komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan strategik yang mempunyai matlamat bersama dalam ekosistem digital bagi memacu keterangkuman kewangan PMKS di Malaysia," katanya. - DagangNews.com