FTW Ventures peroleh hak eksklusif edar barangan jenama Fox Racing di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura | DagangNews Skip to main content

FTW Ventures peroleh hak eksklusif edar barangan jenama Fox Racing di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura

(Dari kiri, hadapan) Pengurus Pengedar Fox Racing bagi Asia Pasifik & Amerika Latin, Riley Mallard dan Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures, Hairolsham Abu Bakar saling bertukar perjanjian pengedar eksklusif barangan Fox Racing
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - FTW Ventures Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian sebagai pengedar eksklusif barangan jenama Fox Racing di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

 

Dalam satu kenyataan media, FTW Ventures berkata perjanjian tersebut telah dimeterai oleh jenamanya FTW Racing, iaitu pengedar dan penjual pakaian sukan permotoran, motosikal, alat ganti motosikal, aksesori dan koleksi gaya hidup.

 

Hak eksklusif pengedar barangan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu adalah bagi tempoh tiga tahun dan automatik diperbaharui selepas tempoh berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures, Hairolsham Abu Bakar berharap pemegangan hak eksklusif dapat mengukuhkan lagi kedudukan FTW Racing dalam industri sukan permotoran di rantau ini.

 

“FTW Racing juga dalam usaha untuk menambah lebih banyak produk peralatan sukan agar memberi lebih banyak pilihan kepada penggemar sukan luar dan ekstrem di Malaysia.

 

 

(Dari kiri, duduk) Pengerusi EXCO Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek; Ahli Lembaga Pengarah Pernas, Afidah Azwa Abdul Aziz; Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin; Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures, Hairolsham Abu Bakar; dan Pengurus Pengedar Fox Racing bagi Asia Pasifik & Amerika Latin, Riley Mallard.
(Dari kiri, duduk) Pengerusi EXCO Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek; Ahli Lembaga Pengarah Pernas, Afidah Azwa Abdul Aziz; Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin; Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures, Hairolsham Abu Bakar; dan Pengurus Pengedar Fox Racing bagi Asia Pasifik & Amerika Latin, Riley Mallard.

 

 

“Pada Mac lalu, FTW Racing telah melancarkan aplikasi baharu yang boleh dimuat turun di di Google Play Store atau Apple Store agar pelanggan boleh menempah dan membeli produk barangan sukan ekstrem dengan lebih mudah dan cepat,” ujar beliau.

 

Dengan pelaburan yang diberikan oleh Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), FTW Racing telah mendapat suntikan pelaburan sebanyak dua kali berjumlah RM5 juta pada tahun 2021 dan 2022. Daripada jumlah ini, sebanyak RM2.5 juta telah membolehkan FTW Racing mendapat hak eksklusif bagi jenama Fox Racing.

 

FTW Racing kini mempunyai lapan kedai di Indonesia melalui konsep lisensing, ditambah lima kedai di Malaysia iaitu dua di Johor, Pulau Pinang, Pahang dan kedai korporatnya di Petaling Jaya.

 

Pernas, yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), giat membantu membangunkan jenama ini ke arah francais melalui Bahagian Pembangunan Perusahaan Sederhana (MED).

 

 

Majlis Pertukaran Perjanjian Pengedar Ekslusif di antara FTW Ventures dan Fox Racing turut dihadiri Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Pernas.
Majlis Pertukaran Perjanjian Pengedar Ekslusif di antara FTW Ventures dan Fox Racing turut dihadiri Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Pernas.

 

“Pernas selaku Peneraju Francais Malaysia sentiasa bersedia membantu syarikat seperti FTW Racing untuk menjadi perniagaan francais dan berkembang maju,” ujar Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin ketika Majlis Pertukaran Perjanjian Pengedar Ekslusif tersebut.

 

Selain suntikan pelaburan, Pernas turut membantu FTW Racing melalui salah satu programnya iaitu Projek Xcelerator yang bertujuan membimbing dan membangunkan usahawan berpotensi ke arah francais.

 

FTW Racing kini sedang dalam proses mendaftarkan perniagaan francais di Pendaftar Francais (Registrar of Franchise, KPDN) dan menyasarkan untuk memiliki lesen francais pada suku keempat tahun ini. - DagangNews.com