Ford Ranger Raptor generasi baharu dilancar pada 7 Oktober 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ford Ranger Raptor generasi baharu dilancar pada 7 Oktober 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Sept - Pengedar tunggal Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) mengumumkan bahawa penantian hampir berakhir untuk Ranger Raptor generasi akan datang. 

 

Trak pikap prestasi yang dinanti-nantikan itu akan dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober 2022 di trek Baja di pinggir Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

 

Dibangunkan dengan DNA Performance Ford, Ranger Raptor menetapkan penanda aras sebagai satu-satunya pikap prestasi luar jalan berkelajuan tinggi yang dibina khas di Asia Pasifik. 

 

Ranger Raptor generasi akan datang sekali lagi meningkatkan bar prestasi, menggabungkan ketepatan mekanikal dan teknikal dengan teknologi pintar.

 

Pengarah Urusan SDAC, Turse Zuhair berkata, dengan prestasi yang dipertingkatkan, teknologi moden dan keupayaan terbaik dalam kelasnya, Ranger Raptor generasi seterusnya merupakan raja pikap yang muktamad. 

 

"Lebih berani dan lebih pantas, ini adalah pemboleh gaya hidup muktamad untuk pelanggan bekerja keras dan bermain lebih keras. Namun cukup selamat dan selesa dengan dalaman yang mewah dan lapang untuk keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Orang ramai, pelanggan Ford dan peminat Ranger dialu-alukan untuk mendaftar melalui laman web SDAC-Ford Malaysia untuk menerima jemputan eksklusif ke pelancaran awam pada 7 hingga 9 Oktober 2022, di trek Baja, SIC.

 

 

ford

 

 

Mereka yang mendapat jemputan ke acara awam akan menjadi antara yang pertama di Malaysia untuk menyaksikan kuasa Ranger Raptor generasi akan datang secara langsung. 

 

Keluarga Ford yang melancarkan kenderaan generasi akan datang baru-baru ini, barisan Ranger generasi seterusnya dan rangkaian Everest generasi seterusnya juga akan dipamerkan dan tersedia untuk pandu uji semasa acara itu. - DagangNews.com