foodpanda satu-satunya platform penghantaran makanan tawar Menu Rahmah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

foodpanda satu-satunya platform penghantaran makanan tawar Menu Rahmah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mei - foodpanda berganding bahu dengan rakan kongsi restoran dalam usaha menawarkan item Menu Rahmah mereka untuk dihantar kepada pelanggan dan usaha ini menjadikan ia sebagai satu-satunya platform penghantaran makanan menawarkan perkhidmatan ini di Malaysia.

 

Demi menyokong inisiatif kerajaan meringankan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat Malaysia, foodpanda memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh memesan set hidangan makan tengah hari atau makan malam Menu Rahmah daripada aplikasi dan laman webnya pada harga mampu milik serendah RM5 atau kurang.

 

Semasa pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama foodpanda di ibu pejabat korporatnya di Bangsar South, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub memuji komitmen foodpanda untuk meluaskan capaian Menu Rahmah kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

 

"Usaha kami dalam menjadikan Menu Rahmah lebih mudah diakses semua rakyat Malaysia daripada segenap lapisan dan peringkat pendapatan tidak akan berjaya tanpa penyertaan sukarela pengendali restoran dalam sektor swasta. 

 

"Ia adalah sesuatu yang menggembirakan apabila melihat platform penghantaran makanan seperti foodpanda turut memainkan peranan mereka untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada makanan pada harga berpatutan," kata Salahuddin.

 

Terdahulu, foodpanda Malaysia turut menyumbangkan 300 pek bungkusan Bakul Rahmah bernilai RM15,000, yang akan diserahkan kepada Yayasan Rahmah Malaysia, rakan strategik KPDN untuk diagihkan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, sebagai salah satu platform penghantaran makanan terkemuka dengan jutaan pelanggan, pihaknya komited untuk memastikan pelanggannya boleh memesan pelbagai penawaran Menu Rahmah tidak kira di mana mereka berada dengan hanya beberapa klik menerusi aplikasi foodpanda.

 

 

foodpanda
Datuk Seri Salahuddin Ayub (kanan) dan Sayantan Das menandatangani plak perasmian inisiatif Payung Rahmah bersama foodpanda di Bangsar South, Kuala Lumpur pada 16 Mei 2023.

 

 

"Kami berbesar hati kerana mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada beberapa vendor untuk meluaskan lagi capaian item Menu Rahmah mereka, dan pada masa sama, memainkan peranan kami dalam usaha meringankan beban rakyat Malaysia setiap hari," katanya.

 

Menurut Sayantan, foodpanda melancarkan Pakej Rahmah sebelum tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi membantu rakyat Malaysia membuat persiapan sambutan itu.

 

Katanya, pihaknya juga percaya bahawa inisiatif itu akan turut memberi manfaat kepada rangkaian rakan penghantaran mereka yang meluas kerana pihaknya menjangkakan bahawa jumlah pesanan akan terus meningkat sekali gus meningkatkan lagi pendapatan mereka.

 

 

foodpanda

 

 

"Kami ingin meyakinkan rider kami bahawa struktur pembayaran akan tetap sama tidak kira sama ada mereka menghantar item Menu Rahmah atau sebaliknya, dan pendapatan mereka bagi setiap perjalanan tidak akan dikurangkan untuk inisiatif ini. Itulah komitmen kami kepada mereka," katanya.

 

Turut bersama-sama menjayakan inisiatif itu dengan foodpanda adalah OldTown White Coffee, Texas Chicken, Lim Fried Chicken dan Daporlah serta 16 jenama restoran yang lain. 

 

Selain daripada menghantar item Menu Rahmah, pandamart, kedai runcit foodpanda yang menawarkan pengguna kemudahan penghantaran barangan runcit terus ke pintu rumah akan menyertai inisiatif Pakej Rahmah dengan menawarkan barangan runcit pakej barangan runcit pada harga mampu milik dengan lebih penjimatan untuk masa terhad.

 

Pakej Rahmah pandamart menawarkan dua pakej barangan runcit pada harga RM50 dan RM30, dengan penjimatan sehingga 25% untuk para pembeli yang ingin mendapatkan tawaran terbaik semasa membeli-belah untuk barangan keperluan harian mereka. - DagangNews.com