foodpanda, PolicyStreet perkenal skim insurans serba baharu untuk vendor, tingkatkan perlindungan rakan penghantar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

foodpanda, PolicyStreet perkenal skim insurans serba baharu untuk vendor, tingkatkan perlindungan rakan penghantar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Julai - foodpanda Malaysia dan PolicyStreet mengukuhkan lagi kerjasama dengan memperkenalkan skim insurans serba baharu untuk rakan vendor, termasuk meningkatkan perlindungan serta kebajikan rakan penghantar. 

 

Pengarah Operasi foodpanda Malaysia, Kelvin Chan berkata, perkembangan itu pastinya akan menggembirakan semua rakan penghantar dan vendor foodpanda.  

 

“Hubungan kami dengan PolicyStreet sememangnya sangat bermakna dan kami telah bekerjasama rapat selama beberapa tahun ini untuk memberikan yang terbaik buat rakan penghantar kami, terutamanya peranan penting dimainkan mereka dalam ekosistem kami. 

 

"Oleh itu, kami telah memutuskan untuk mengembangkan lagi penawaran ini kepada vendor-vendor, bagi memastikan mereka juga boleh beroperasi dengan tenang. Kami akan terus bekerjasama bagi memperkenalkan lebih banyak lagi manfaat untuk semua pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PolicyStreet, Yen Ming pula berkata, keazaman untuk membantu individu merancang masa depan dan meningkatkan nilai kehidupan mereka adalah faktor yang mendekatkan pihaknya dengan masyarakat. 

 

"Kini, kami berasa amat berbesar hati kerana dapat meneruskan dan menambah baik kerjasama ini dengan turut menyediakan perlindungan insurans untuk vendor foodpanda juga. Impak positif ke atas kehidupan mereka hasil daripada kerjasama ini menjadi sebab utama kenapa kami memilih untuk meneruskan apa yang kami lakukan ini setiap hari,” katanya.

 

foodpanda telah memutuskan untuk menawarkan perlindungan kepada para vendor yang sentiasa berdepan dengan pelbagai risiko. Ekoran itu, 9 kategori insurans mendalam yang berbeza akan dimasukkan ke dalam pelan perlindungan tersebut. 

 

 

foodpanda

 

 

Ini termasuklah kebakaran, kecurian, liabiliti awam, jaminan wang, plat kaca, papan tanda, papan iklan, jaminan kesetiaan dan kemalangan peribadi kumpulan. Selaras dengan kemalangan peribadi kumpulan, perlindungan akan diberikan kepada sehingga 12 kakitangan sebaik sahaja majikan mereka mendaftar untuk pelan tersebut. 

 

Untuk rakan penghantar pula, skim insurans yang diperbaharui ini memberi jaminan bahawa waris mereka akan dijaga dari segi kewangan dengan pemberian wang berjumlah RM100,000 jika berlakunya kematian yang tidak dijangkakan dan RM7,500 jika ia disebabkan oleh COVID-19. 

 

 

foodpanda

 

 

foodpanda

 

 

Bagi kes hilang upaya kekal, rakan penghantar foodpanda akan diberikan pampasan sehingga RM100,000. Langkah-langkah ini telah pun dilaksanakan bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung waris mereka dan memastikan bahawa rakan penghantar sentiasa berasa tenang ketika menjalankan tugas mereka. 

 

Selain itu, rakan penghantar foodpanda yang didapati positif dalam ujian saringan COVID-19 akan menerima RM300 bagi membantu meringankan beban akibat kehilangan punca pendapatan ketika menjalani kuarantin. 

 

Seterusnya, mereka juga boleh menuntut perbelanjaan perubatan sehingga RM3,000 sebagai tambahan kepada pendapatan kemasukan hospital sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 30 hari. Secara keseluruhannya, premium tahunan bagi setiap rakan penghantar hanya berharga RM37.50 setahun. - DagangNews.com