KUALA LUMPUR 6 Mei - Focus Point Holdings Bhd. bercadang untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Papan Utama Bursa Malaysia.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Focus Point berkata, cadangan itu membabitkan pemindahan penyenaraian dan sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitan kumpulan.
Menurutnya, kumpulan dan anak-anak syarikatnya telah memenuhi keperluan pemindahan dalam Garis Panduan Ekuiti yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Securities.
Setakat 1 April 2022, modal saham terbitan Focus Point berjumlah RM40.1 juta terdiri daripada 329,999,477 juta saham biasa.
"Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan berkaitan yang diperoleh, cadangan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat 2022," katanya dalam makluman itu hari ini.
Cadangan pemindahan penyenaraian itu akan menjadi pencapaian penting kepada kumpulan selepas disenaraikan di Pasaran ACE pada 23 Ogos 2010.
Ia turut mencerminkan kekuatan kewangan Focus Point kerana telah memenuhi keperluan rekod prestasi keuntungan serta kedudukan kewangan dan keperluan kecairan untuk pemindahan ke Pasaran Utama.
Menurutnya, pasaran modal syarikat setakat ini mencecah hampir RM244.2 juta, berkembang daripada RM64.35 juta sejak disenaraikan di Pasaran ACE.
Dalam hal ini, katanya, lembaga pengarah yakin cadangan pemindahan penyenaraian ini akan meningkatkan kredibiliti, prestij dan reputasi syarikat.
"Ini dapat memberikan pengiktirafan dan penerimaan yang lebih tinggi dalam kalangan pelabur, khususnya pelabur institusi, selain mencerminkan skala operasi semasa kumpulan, sekali gus meningkatkan daya tarikan dan kebolehpasaran saham Focus Point.
"Di samping itu, cadangan ini juga dijangka meningkatkan keyakinan pelanggan, pembekal, rakan perniagaan, pekerja dan pemegang saham kumpulan melalui profilnya sebagai syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama," jelasnya.
Langkah tersebut dijangka tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan dan pemegangan utama saham kumpulan termasuk aset bersih sesaham, penggearan, pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan.
RHB Investment Bank Bhd. telah dilantik sebagai Penasihat Utama bagi cadangan berkenaan. - DagangNews.com








