KUALA LUMPUR 15 Nov - Enovix Corp, syarikat bateri silikon termaju, akan melabur sejumlah AS$1.2 bilion (RM5.8 bilion) di Malaysia dalam tempoh 15 tahun, termasuk barisan pembuatan pertama bernilai RM315 juta yang diumumkan pada Ogos lalu.
Barisan pembuatan dengan kerjasama YBS International Bhd itu akan terletak di di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Operasi Enovix, Ajay Marathe berkata syarikat itu membuat keputusan mudah untuk membina kilang pembuatan volum tinggi pertama di Malaysia memandangkan mereka bekerj rapat secara peribadi dengan pihak berkuasa kerajaan Malaysia lebih tiga dekad, serta setelah berjaya membina dan menjalankan beberapa kilang besar.
“Kumpulan bakat teknikal Malaysia yang mendalam, persekitaran mesra perniagaan dan kedekatan dengan kemudahan pembuatan vendor dan pelanggan kami menjadikannya lokasi ideal untuk membantu membangunkan ekosistem rantaian bekalan bateri, di samping mengeluarkan dan menskalakan bateri generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Enovix Malaysia Sdn Bhd kini dalam proses memasang jenteranya dan ia dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2024.
Pelan pelaburan syarikat itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mesyuarat yang diadakan di luar acara Minggu Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di sini pada Rabu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penubuhan kemudahan pembuatan volum tinggi pertama Enovix di Malaysia menunjukkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan pilihan di Asia Tenggara untuk syarikat teknologi maju.
“Penubuhan kemudahan teknologi bateri berteknologi tinggi Enovix di Malaysia adalah sejajar dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, dan menjanjikan impak limpahan tempatan ketara, terutamanya penciptaan peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang besar untuk rakyat Malaysia dan peningkatan landskap perindustrian negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata setelah Enovix meletakkan asasnya di Malaysia, beliau menjangkakan syarikat itu menjadi kolaborator dan penyumbang utama industri kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi.
“Pelaburan Enovix di Malaysia adalah bukti kepercayaan syarikat berkenaan terhadap keupayaan dan tenaga kerja negara, serta memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan Malaysia. MIDA menantikan perkongsian yang diperkukuh dengan Enovix pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya.
Enovix merupakan syarikat tersenarai di Nasdaq dengan ibu pejabatnya di Amerika Syarikat, dengan operasinya di India, Korea Selatan dan Malaysia. Aplikasi teknologi bateri Enovix meluas dalam internet kebendaan (IoT), mudah alih, peranti pengkomputeran dan kenderaan. - DagangNews.com








