KUALA LUMPUR 6 Nov - Firefly, anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG), memulakan penerbangan sulungnya dari hab operasi pesawatnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok melalui penerbangan FY3632.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, peluasan strategik itu menggariskan komitmen Firefly untuk mengukuhkan jejaknya di seluruh rantau ASEAN.
Katanya, penerbangan sambungan terus ke Pulau Pinang menunjukkan dedikasi pihaknya untuk memacu pertumbuhan di hab utara.
"Perkembangan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehcapaian serantau untuk pelancong domestik tetapi juga membuka pintu untuk pelawat antarabangsa, yang berpotensi meningkatkan pelancongan, perjalanan perniagaan dan pelaburan asing.
"Kami teruja dengan prospek untuk memupuk peningkatan ketersambungan dan menyumbang secara signifikan kepada pelancongan masuk," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, majlis pelepasan dan sambutan diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan; Ketua Pegawai Komersial Syarikat Penerbangan (MAG), Dersenish Aresandiran dan Ketua Pegawai Operasi Firefly, Kapten Hamdan Che Ismail.


Dalam majlis itu, penumpang yang berlepas menerima cenderahati istimewa di pintu masuk sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang yang mendarat di Bangkok pada pukul 3.50 petang waktu tempatan.


Bagi perjalanan pulang, penerbangan FY3633 selamat tiba semula di Pulau Pinang pada jam 8.50 malam, yang mana penumpang disambut dengan tabik hormat air dan persembahan kompang khas semasa ketibaan. - DagangNews.com








