Fiamma bayar RM109 juta bagi kelulusan bangunkan tanah di sepanjang Jalan Yap Kwan Seng | DagangNews Skip to main content

Fiamma bayar RM109 juta bagi kelulusan bangunkan tanah di sepanjang Jalan Yap Kwan Seng

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Fiamma Holdings Berhad membayar RM109.65 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk membangunkan tanah seluas 0.76 hektar di sepanjang Jalan Yap Kwan Seng.

 

Kelulusan itu diberikan oleh Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

 

Tanah pajakan itu, yang terletak berhampiran dengan tanah sedia ada seluas 0.56 hektar milik Fiamma di sepanjang jalan yang sama.

 

Ia akan digunakan untuk pembangunan bercampur antara kediaman (20%) dan komersial (80%).

 

“Tanah itu terletak secara strategik di pusat bandar Kuala Lumpur dengan bangunan pejabat mewah, pusat beli-belah fesyen, hotel mewah dan pelbagai kemudahan, serta dengan pemandangan luas dari Menara Berkembar Petronas yang futuristik,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Fiamma berkata, pembayaran itu dibiayai oleh gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman luar. 

 

Segmen hartanah Fiamma menyumbang kepada 26% daripada pendapatan kumpulan sebanyak RM347.02 juta dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (1HFY23) tetapi hanya 4% daripada keuntungan bersih kumpulan sebanyak RM94.54 juta dalam tempoh tersebut.

 

Tanah seluas 0.56 hektar sedia ada kumpulan itu dicadangkan untuk pembangunan hartanah kediaman. 

 

Kumpulan itu juga mempunyai tanah seluas 1.05 hektar di sepanjang Jalan Sungai Besi.- DagangNews.com