FGV salur sumbangan RM5 juta kepada mangsa banjir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FGV salur sumbangan RM5 juta kepada mangsa banjir

Sejak beberapa tahun lalu, FGV telah melaksanakan inisiatif membantu rakyat Malaysia dengan memberikan bantuan ketika bencana banjir. - Gambar hiasan : Facebook NADMA

KUALA LUMPUR 20 Dis – FGV Holdings Bhd. memberi sumbangan sebanyak RM5 juta kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (TTBN) bagi membantu mangsa banjir terutamanya di beberapa lokasi terjejas. 

 

Tabung itu diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

 

Bantuan sumbangan itu diserahkan Pengerusi FGV, Datuk Dzulkifli Abd Wahab kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas –tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali disaksikan Pengarah Seksyen Logistik NADMA,  Mohd Khairi Abd Ghani.

 

 

FGV
Mohd Khairi Abd Ghani (dari kiri) ketika menyaksikan majlis penyerahan bantuan banjir FGV yang diwakili Dzulkifli Abd Wahab (kanan) dan Armizan Mohd Ali.

 

 

Dalam kenyataan hari ini, Dzulkifli berkata, sumbangan FGV kepada NADMA adalah sebahagian daripada komitmen FGV untuk memberikan bantuan sementara kepada masyarakat ketika mereka betul-betul memerlukannya. 

 

"Kini kita sekali lagi dilanda musim tengkujuh dan bencana alam terutamanya banjir boleh berlaku pada bila-bila masa. 

 

"Sebagai warga korporat yang prihatin, kami berharap agar sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa banjir untuk meneruskan kehidupan mereka," katanya.

 

Sejak beberapa tahun lalu, FGV telah melaksanakan inisiatif membantu rakyat Malaysia dengan memberikan bantuan ketika bencana banjir. 

 

Ini termasuk pemberian bantuan semasa dan pasca bencana dalam bentuk wang tunai atau sumbangan makanan melalui FGV Food Relief Bag (FGV FReB) yang mengandungi produk makanan FGV dengan tujuan untuk memberi bantuan sementara kepada mangsa banjir. - DagangNews.com