Felda mahu disenaraikan antara syarikat Fortune 500 pada 2040 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Felda mahu disenaraikan antara syarikat Fortune 500 pada 2040

Gambar Reuters

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berhasrat untuk menjadi salah satu syarikat yang tersenarai dalam Fortune 500 menjelang tahun 2040. 

 

Matlamat itu akan dicapai selepas tiga hala tuju berjaya direalisasikan, yang digariskan pada Hari Peneroka Felda bertemakan ‘Anjakan Minda Peneroka’ tahun ini, menurut Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

 

“Apabila berbicara mengenai peneroka, ia memberikan rujukan kepada generasi hari ini yang tidak melalui kepahitan ibu bapa mereka, inilah anjakan paradigma ingin dilakukan, fokusnya adalah bagaimana kita dapat mengubah pemikiran berfikiran mereka.

 

Idris Jusoh
Idris Jusoh

 

“Keduanya, bagi perladangan dapat ditingkatkan penghasilannya dan ketiga, iaitu mempunyai tadbir urus yang baik dengan melunaskan hutang-hutang yang sedia ada serta meningkatkan efisien akauntabiliti bagi tahun-tahun seterusnya dan menjadi syarikat Fortune 500 menjelang 2040,” katanya seperti dilaporkan Awani.

 

Ujar Idris, institusi perladangan itu turut menumpukan usaha anjakan paradigma dalam kalangan peneroka, antaranya peralihan mereka menjadi masyarakat pemberi.

 

“Saya teruja sebenarnya melihat apabila kita dapat mengutip wang, iaitu peneroka memberi sedekah dalam program sedekah RM300 tahun ini dengan kutipan sebanyak RM9.7 juta dan duit ini diberikan kepada Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

 

“Kalau dahulunya peneroka hanya mengharapkan duit raya, sekarang ini mereka sudah menjadi masyarakat pemberi, berdiri di atas kaki sendiri dan ini sudah berlaku,” tambah beliau.

 

Idris menterjemahkan peneroka sebagai alif, ba dan ta, iaitu air, baja serta teknologi. 

 

Dari aspek teknologi peneroka, Felda membantu mereka dalam menuai, mengurus ladang dan menggunakan Smart Plantation Management Solution termasuk penggunaan dron bagi memantau kebun, mengira pokok, melihat kesuburan serta mengawal penyakit hanya menerusi sistem. - DagangNews.com