FBMK UPM anjur forum martabat Bahasa Melayu di peringkat global | DagangNews Skip to main content

FBMK UPM anjur forum martabat Bahasa Melayu di peringkat global

Siri 1 Forum Perdana Pengantarabangsaan Bahasa Melayu anjuran FBMK UPM mengumpulkan para ahli bahasa, pendidik, dan pemangku kepentingan bagi membincangkan langkah-langkah penting dalam memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat global.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Siri 1 Forum Perdana Pengantarabangsaan Bahasa Melayu bagi membincangkan langkah-langkah penting dalam memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat global, baru-baru ini.

 

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof Madya Dr Hazlina Abdul Halim berkata, pihaknya akan sentiasa menjalankan usaha dan melunaskan tangggungjawab untuk memartabatkan Bahasa Melayu agar relevan sepanjang masa, dan seiring dengan perubahan zaman.

 

Katanya, usaha memperkukuh dan memartabatkan bahasa Melayu bukanlah tindakan bermusim atau dilakukan pada waktu tertentu, sehinggakan menjadikan darjah pasang surut terhadap Bahasa Melayu tidak stabil dan tidak menentu.

 

"Usaha murni untuk memperkukuhkan penguasaan dan kemahiran berbahasa Melayu juga menjadi keutamaan UPM. Hal ini terbukti dengan mewajibkan semua pelajar UPM yang terlibat untuk menduduki Ujian Komunikasi dalam Bahasa Melayu atau UKOM, sebagai syarat bergraduat.

 

"Dalam kalangan pentadbir, semua urusan mesyuarat, surat-menyurat, komunikasi secara e-mel dilakukan dalam bahasa Melayu," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Tambahnya, Bahasa Melayu memiliki ciri kecendekiaan dan kesempurnaan yang dapat digunakan sebagai peradaban tinggi bahasa ilmu yang mantap dan perkembangan ilmu.

 

 

UPM

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Perbincangan mendalam merangkumi isu-isu strategik seperti peranannya sebagai bahasa ilmu dan budaya, langkah-langkah untuk mempromosikan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di rantau Nusantara, serta usaha-usaha untuk memperkuatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai sumber rujukan utama bersama bahasa-bahasa antarabangsa.

 

 

upm

 

 

Acara ini memanifestasikan semangat kolaboratif dan komitmen terhadap peningkatan bahasa Melayu di peringkat global, menjadikannya satu landasan ke arah menerangi dan memajukan bahasa kebangsaan ke pentas yang lebih tinggi dalam era serba global ini. - DagangNews.com