KUALA LUMPUR 20 Julai - FastJobs Malaysia, portal pekerjaan online terkemuka menyokong golongan belia dan pengiat seni menerusi tajaan kepada inisiatif projek ‘Blank Canvas: Mural Art di Taman Rimba WoodHAVEN' bagi mempromosi penglibatan masyarakat terhadap usaha pengindahan bandar dan ekspresi karya seni.
Penajaan FastJobs Malaysia adalah kepada penghasilan mural dengan ukuran lebar sepanjang 219 meter dan ketinggian 2.1 meter.
Lukisan mural itu memaparkan gabungan idea abstrak dan alam semula sekali gus memberikan tarikan visual serta wajah baru kepada taman tersebut.
Pengurus Besar FastJobs Malaysia, Ivy Wan berkata, pihaknya mempercayai potensi golongan belia dan mengiktiraf peranan seni dalam pembentukan peribadi, ekspresi diri dan pembangunan komuniti.
Melalui penajaan ini katanya, matlamat utama mereka adalah untuk memberi sokongan dan mengalakkan usaha pengiat seni muda memperkasakan warisan budaya komuniti setempat.
"Usaha ini merupakan sebahagian daripada mandat FastJobs untuk menjadi pengubah keadaan atau ‘game changer’kepada golongan belia terutamanya dalam pasaran pekerjaan semasa.
"Aktiviti ini mendorong kepada peningkatan kemahiran dan meneroka peluang melangkaui kaedah tradisional," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, fasa pertama projek ini bermula pada 10 dan 11 Jun 2023, diikuti dengan fasa kedua pada 19 hingga 22 Jun 2023.
Projek ini menghimpunkan seramai 170 ahli sukarelawan daripada kumpulan Penang Youth Volunteers yang dibimbing oleh Pensyarah Seni Halus dan Alumni Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (SOTA USM), Norshahidan Mohamad dan SMJK (C) Jit Sin Bukit Mertajam.

Penajaan ini merupakan dedikasi FastJobs Malaysia menyokong usaha komuniti memperkasakan warisan budaya dan membentuk pengaruh positif dalam masyarakat.
Kerjasama dengan institusi pendidikan memaparkan visi bersama kedua-dua pihak dalam memupuk bakat golongan belia melalui penyediaan platform untuk berkongsi pengetahuan artistik dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka dunia seni. - DagangNews.com








