KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pengeluar bateri litium global, EVE Energy Co. Ltd. hari ini mengumumkan majlis pecah tanah kemudahan pembuatan baharunya dengan pelaburan awal AS$422 juta (RM1.93 bilion) di Kulim, Kedah.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, kilang baharu itu akan menjadi kilang ke-53 EVE dan akan memberi fokus kepada pengeluaran bateri litium ion silinder untuk menyokong perkakasan kuasa serta pembuatan dua roda elektrik di negara ini dan di seluruh Asia Tenggara.
Pengarah EVE Energy Malaysia Sdn. Bhd., Joe Chen berkata, projek permulaan itu akan dibina secara berperingkat dan tempoh pembinaan tidak melebihi tiga tahun.
"Ini adalah peristiwa penting bagi EVE bagi mengembangkan perniagaan global kami, meningkatkan daya saing komprehensif dan untuk mengembangkan lagi bahagian pasaran global.
"Bergantung pada kelebihan domestik dan pengalaman operasi EVE, kami akan membina pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia untuk menyokong kenderaan dua roda elektrik dan alat kuasa di Malaysia," katanya hari ini, lapor Bernama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA, Lim Bee Vian berkata, projek itu selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) negara dan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP) ke arah mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050.
“Dengan menubuhkan kilang pembuatan bateri silinder ini di Malaysia, kami menunjukkan komitmen kami terhadap daya saing di pasaran antarabangsa.
"Sambutan hari ini menandakan peristiwa penting yang bukan sahaja memberi manfaat kepada EVE tetapi juga membuka jalan kepada lebih banyak syarikat untuk melabur di Malaysia dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan ekosistemnya," katanya. - DagangNews.com








