E&O jadi pelaburan pilihan bagi pasaran hartanah di Pulau Pinang - RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

E&O jadi pelaburan pilihan bagi pasaran hartanah di Pulau Pinang - RHB Investment

Gambar Seri Tanjung Pinang by E&O
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Eastern & Orental Berhad (E&O) masih menjadi pilihan pelaburan utama dalam pasaran hartanah di Pulau Pinang susulan permintaan yang kian meningkat di negeri itu dipacu oleh pelaburan yang kukuh dalam sektor elektrik & elektronik (E&E) dan semikonduktor.

 

RHB Investment Bank berkata, malah, keputusan suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) yang dicatatkan E&O dilihat melangkaui jangkaan.

 

Kata firma penyelidikan itu, rentak jualan hartanah E&O juga masih kukuh, dengan kediaman bertanah Senna dan Fera sudah habis terjual. 

 

"Sambutan awal untuk The Lume tampak menggalakkan dan syarikat ini merancang untuk melancarkan projek pangsapuri perkhidmatan seterusnya pada separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25). 

 

"Pelancaran yang dirancang dilihat berkembang dengan baik untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM850 juta yang ditetapkan oleh pihak pengurusan. 

 

"E&O masih lagi menjadi pilihan pelaburan utama dalam pasaran hartanah di Pulau Pinang bagi menggarap permintaan yang kian meningkat, dipacu oleh pelaburan yang kukuh dalam sektor elektrik & elektronik (E&E) dan semikonduktor," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment juga mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.38, potensi kenaikan harga saham 64% dengan kadar hasil dividen sekitar 2% untuk FY25.

 

"Meskipun prestasi 1QFY25 mantap, kami kekalkan ramalan buat masa ini. Jualan belum dibil untuk suku ini mencecah RM1.35 bilion, sama seperti 4QFY24," jelasnya.

 

Kata firma itu, keputusan 1QFY25 E&O menyaksikan hasil bertumbuh secara QoQ dan YoY, disebabkan oleh jumlah jualan dan pengebilan lebih tinggi yang diterima daripada projek-projek yang sedang berjalan seperti The Meg, Arica dan kediaman bertanah Senna dan Fera di Pulau Andaman. 

 

"Jumlah jualan hartanah 1QFY25 mencecah RM162.5 juta berbanding RM266 juta pada 4QFY24. Daripada jumlah ini, kediaman Senna dan Fera merangkumi RM63.9 juta (projek ini dilancarkan pada 4QFY24), manakala The Peak dan Conlay mencatat jualan bernilai RM56.9 juta dan RM32.6 juta.

 

"Sekarang, The Peak sudah hampir habis terjual, dengan hanya empat unit masih ada. Senna & Fera juga telah habis terjual, dan baki dua unit yang tinggal akan dikekalkan sebagai unit pameran untuk pelancaran kediaman bertanah pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com