Emas dijangka kekal jadi pelaburan terbaik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Emas dijangka kekal jadi pelaburan terbaik


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 3 Jan - Emas dan barang perhiasan sentiasa menjadi pilihan meskipun ketika negara berdepan wabak COVID-19 hampir 2 tahun lalu. 

 

Ada yang menjadikan emas sebagai pelaburan terbaik, tetapi tidak kurang juga ada yang mahu tampil bergaya dengan rekaan perhiasan terkini, dengan menganggapnya sebagai satu kepuasan peribadi.

 

Apa jua alasan yang diberikan, emas tetap menjadi tumpuan walau dalam apa jua situasi. Bak kata peribahasa, alah membeli menang memakai. 

 

Maka, tidak hairanlah jika lebih ramai orang akan berbelanja untuk membeli emas lagi pada tahun ini kerana kelebihannya sebagai aset pelaburan.

 

Membeli emas tidak dianggap suatu pembaziran sebaliknya satu pelaburan jangka panjang kerana jika terdesak barangan itu boleh dijual balik terutama ketika harganya melonjak tinggi.


 

pohkong

 


Sehubungan itu, tidak hairan, jika ada golongan wanita yang lebih gemar menghabiskan wang membeli barang kemas dengan alasan sebagai pelaburan terbaik dan menguntungkan dalam jangka masa panjang

 

Sudah pasti ini akan memberi kelebihan kepada pedagang emas di negara ini, antaranya, Poh Kong Holdings Bhd. 

 

Memetik laporan The Edge hari ini, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Choon Yee Seiong menjangkakan kumpulan akan merekodkan prestasi yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022 di sebalik permintaan kukuh bagi pelaburan emas dan barang kemas.  


 

Datuk Choon Yee Seiong
Datuk Choon Yee Seiong

 


Malah, kumpulan itu yakin mereka berada dalam kedudukan yang baik untuk merekodkan pendapatan lebih tinggi berdasarkan kepada aktiviti dalam pasaran komoditi dan bersedia untuk memanfaatkan permintaan apabila situasi COVID-19 bertambah baik.

 

Harga emas didapati terus meningkat sejajar dengan permintaan dan mungkin mencecah purata AS$2,000 (RM8,344) per auns pada tahun ini.

 

"Jualan syarikat juga dijangka kembali melantun apabila ekonomi dibuka semula. Dengan sempadan dibuka, lebih ramai orang dibenarkan melakukan perjalanan dan banyak majlis diadakan.

 

"Jadi, disokong permintaan tinggi bagi emas dan barang perhiasan, kami jangkakan jualan juga akan meningkat," jelasnya.


 

pohkong

 


Malah, kumpulan itu juga bersedia untuk melakukan pemulihan yang teguh selepas mengalami kemerosotan dan mengadaptasi norma baharu seterusnya.  

 

Akibat sekatan pergerakan, untung bersih Poh Kong merosot 63% kepada RM5.42 juta pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2021 daripada RM14.64 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan juga susut 21% tahun ke tahun kepada RM175.29 juta daripada RM221.9 juta. - DagangNews.com