Elak penipuan, KKM akan ambil tindakan kes jual sijil vaksinasi dalam talian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Elak penipuan, KKM akan ambil tindakan kes jual sijil vaksinasi dalam talian

jual sijil vaksinasi

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti satu kes penjualan sijil vaksinasi dalam bentuk kad fizikal secara dalam talian di utara tanah air.

 

Mengulas isu tersebut, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan akan diambil oleh Unit Inspektorat dan Perundangan KKM ke atas pihak yang terlibat.

 

Laporan polis juga turut dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.

 

"Kita tidak membenarkan penjualan (sijil vaksinasi) ini kerana ia adalah satu penipuan sebab akan ada individu melakukan penipuan mengatakan dia sudah menerima dua dos vaksin COVID-19.

 

"KKM tidak ada mengeluarkan atau membuat perolehan kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad vaksinasi kerana sekiranya mahu 'dine-in' (makan di premis) atau merentas daerah, mereka perlu menunjukkan sijil digital di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi yang dikeluarkan oleh KKM," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Semalam, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah, Datuk Dr. Mohd Rushdan Mohd Noor dalam hantaran yang dimuat naik melalui laman Facebook beliau mendedahkan sijil vaksinasi COVID-19 dalam bentuk kad fizikal sudah dijual secara dalam talian.

 

Beliau turut menyiarkan tangkap layar penjualan kad fizikal dalam talian yang tertera sijil digital vaksinasi COVID-19 yang dicetak dan dijual pada harga RM15.

 

Dalam perkembangan berbeza, Dr. Noor Azmi memberitahu, individu dari luar negara yang pulang ke Malaysia perlu mendaftar aplikasi MySejahtera bagi membolehkan mereka sentiasa mengemaskini tahap kesihatan.

 

"Apabila pulang dari luar negara, di pintu masuk lapangan terbang pihak KKM akan mengambil segala maklumat mengenai tahap kesihatan dan akan dimasukkan ke dalam MySejahtera,” katanya. - DagangNews.com