Eksport minyak sawit dijangka kekal kukuh, penganalisis kekal ‘neutral’ terhadap sektor perladangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport minyak sawit dijangka kekal kukuh, penganalisis kekal ‘neutral’ terhadap sektor perladangan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 April - Kenanga Research, RHB Investment dan Public Investment Research (PublicInvest) mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan.

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengumumkan bahawa inventori sawit pada Mac 2023 merosot 21.1% bulan ke bulan (MoM) 1.67 juta tan metrik, paling rendah dalam masa sembilan bulan manakala eksport melonjak 31.8% MoM.

 

Menurut Kenanga Research, eksport minyak sawit berkemungkinan kekal kukuh untuk beberapa bulan akan datang berikutan minyak makan berasaskan soya dan bunga matahari menghadapi pelbagai cabaran.

 

“Permintaan juga semakin pulih didorong penambahan inventori disebabkan harga minyak makan kini lebih berpatutan berbanding setahun lalu berikutan normalisasi permintaan pasca COVID di China dan permintaan biodiesel yang sihat susulan pemotongan pengeluaran OPEC+, manakala Indonesia dan Brazil juga menaikkan campuran biodiesel mereka baru-baru ini,” jelasnya.

 

Di samping itu, firma itu mengekalkan jangkaan harga purata minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM3,800 setiap tan metrik untuk 2023, manakala unjuran harga MSM bagi 2024 disemak naik daripada RM3,500 kepada RM3,800.

 

Kos pengeluaran lebih tinggi masih menjadi kebimbangan, namun firma itu berkata, harga baja telah merosot kira-kira 20% berbanding setahun yang lalu dan pemulihan hasil buah tandan segar (BTS) mungkin memberikan sedikit kestabilan dalam kos pengeluaran tidak lama lagi.

 

Sementara itu, RHB Investment menjangkakan tahap inventori minyak sawit akan terus menurun pada bulan April disebabkan pengeluaran mungkin terhalang oleh cuti Hari Raya Aidilfitri, manakala eksport boleh terus mendapat manfaat daripada penggantungan kuota eksport Indonesia yang akan berlangsung sehingga akhir April.

 

Firma itu berkata, hal tersebut mungkin akan menyebabkan saham minyak sawit Malaysia terus menurun, namun memandangkan negara-negara pengimport utama akan mengambil masa untuk mengurangkan inventori mereka sebelum menyimpan semula, mereka percaya peningkatan permintaan lebih besar hanya mungkin berlaku pada separuh kedua tahun 2023.

 

Di samping itu, masih terdapat faktor sokongan yang sepatutnya mengekalkan harga secara relatif stabil walaupun risiko kenaikan harga telah menjadi sederhana sejak akhir-akhir ini, namun, firma itu mengenal pasti beberapa isu.

 

“Bagaimanapun, terdapat beberapa isu iaitu sebaran minyak sawit dan gas (POGO) yang kekal negatif; simpanan minyak sawit besar pada pengimport; minyak sawit tidak menarik disebabkan jurang harga dengan  minyak kacang soya (SBO) telah mengecil; dan peraturan produk bebas tebang hutan Eropah jejas permintaan dari rantau itu mulai 2024,” katanya.

 

Firma itu terus menjangkakan harga MSM kekal dalam julat antara MYR3,500 hingga 4,500 setiap tan untuk sepanjang tahun 2023, dan purata MYR3,900 setiap tan.

 

Mengulas berkenaan kutipan levi minyak sawit, PublicInvest berkata langkah kerajaan menambah baik mekanisme tersebut dengan mengkaji semula ambang keuntungan durian runtuh dengan mengambil kira kos pengeluaran minyak sawit akan meningkatkan harga minyak sawit yang telah meningkat dengan ketara sejak 10 tahun lepas daripada RM2,300 setiap tan metrik kepada RM3,000.

 

“Pengiraan semasa untuk levi keuntungan durian runtuh sebanyak 3% adalah berdasarkan kepada tan pengeluaran BTS yang dikenakan terhadap ambang harga MSM apabila melebihi RM3,000 setiap tan metrik di Semenanjung Malaysia dan RM3,500 di Malaysia Timur,” jelasnya. -DagangNews.com