Eksport Malaysia diunjur cecah AS$425 bilion menjelang 2030, pertumbuhan tahunan hampir 7% – laporan Standard Chartered | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport Malaysia diunjur cecah AS$425 bilion menjelang 2030, pertumbuhan tahunan hampir 7% – laporan Standard Chartered

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jun - Malaysia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan global dengan eksport diunjur mencecah AS$425 bilion (sekitar RM2 trilion) menjelang 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.8%.

 

Demikian menurut laporan penyelidikan Standard Chartered bertajuk Future of Trade: New opportunities in high-growth corridors, yang mengunjurkan perdagangan global mencecah AS$32.6 trilion dengan kadar pertumbuhan 5% menjelang 2030.

 

“Sementara itu, perdagangan koridor berlabuh di Asia, Afrika dan Timur Tengah akan mengatasi kadar pertumbuhan perdagangan global sehingga empat mata peratusan, memacu volum perdagangan di rantau ini kepada AS$14.4 trilion dan menyumbang 44% daripada perdagangan global menjelang 2030,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Bagi Malaysia, laporan itu menunjukkan bahawa koridor eksport ke India, Indonesia dan Vietnam adalah antara yang berkembang paling pesat, muncul sebagai rakan kongsi perdagangan dengan peluang tinggi, manakala China dan Singapura dijangka terus menguasai perdagangan negara.

 

Sementara itu, Standard Chartered berkata negara sedang melabur untuk mengukuhkan sektor dan infrastruktur eksport utamanya dengan inisiatif naik taraf utama seperti memperluaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Laluan Rel Pantai Timur, yang menghubungkan pantai barat dengan pantai timur.

 

Menurut laporan tersebut, tiga sektor utama akan menjadi pemacu iaitu  jentera dan elektrik menyumbang 53% daripada eksport negara dengan kadar pertumbuhan purata tahunan (CAGR) 6.8%, diikuti logam dan mineral sebanyak 19% (CAGR: 5.9%) serta pertanian dan makanan pada 6% (CAGR: 9.2%).

 

Daripada penyelidikan tersebut, hasil tinjauan melibatkan lebih 100 pemimpin perniagaan global di 13 pasaran mendapati lima cabaran teratas yang perlu dihadapi iaitu (i) konflik dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, (ii) harga tenaga dan komoditi yang tinggi dan tidak menentu, (iii) kelemahan kualiti infrastruktur, (iv) inflasi tinggi, dan (v) sekatan, tarif dan larangan eksport.

 

Menjelang 2030, laporan itu mendapati bahawa penggunaan rumusan kewangan rantaian bekalan digital yang kian meningkat boleh memacu eksport sebanyak 7.5% dalam 13 pasaran yang dikaji, peningkatan sebanyak AS$791 bilion.

 

“Rumusan kewangan rantaian bekalan digital juga boleh membantu memacu rangkuman dan penyertaan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), membantu syarikat menjejaki pematuhan kepada kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta mengurangkan risiko penipuan dan kos pemantauan,” tambahnya.

 

 

Patricia Wong
Patricia Wong

 

 

Ketua Serantau Subsidiari Global untuk ASEAN dan Ketua Negara Korporat, Komersial dan Institusi Perbankan Standard Chartered Malaysia, Patricia Wong berkata pertumbuhan perdagangan Malaysia berdaya saing telah didorong oleh beberapa faktor, terutamanya hubungan kukuh perdagangan dengan pasaran utama.

 

“Dengan keupayaan perdagangan negara dipertingkatkan dengan menaik taraf infrastruktur logistiknya, rangkaian meluas bank ini memberikan pengaruh kukuh sebagai pintu masuk yang tepat kepada laluan perdagangan global yang menghubungkan Malaysia ke dunia,” tambahnya. - DagangNews.com