Eksport Malaysia catat peningkatan 1.2%, import 0.5% pada Oktober 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport Malaysia catat peningkatan 1.2%, import 0.5% pada Oktober 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov - Harga eksport Malaysia pada Oktober 2023, meningkat 1.2% daripada 144.6 mata pada bulan sebelumnya kepada 146.4 mata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Manakala harga import turut naik secara marginal 0.5% daripada 130.6 mata kepada 131.3 mata dan terma perdagangan Malaysia pula bertambah 0.7% bulan ke bulan kepada 111.4 mata pada Oktober 2023.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport menokok 1.2% pada Oktober 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan kenaikan indeks minyak galian (+5.9%), barang-barang keluaran kilang (+0.4%) dan bahan kimia (+0.3%). 

 

Pada masa sama katanya, indeks volum eksport meningkat 0.3% selaras dengan kenaikan indeks minyak galian (+14.3%), minyak dan lemak binatang, sayur-sayuran (+12.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+4.9%).

 

"Indeks volum eksport pelarasan bermusim naik 1% daripada 154.3 mata kepada 155.9 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing menurun 2.2%," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

 

Menurut Mohd Uzir, indeks nilai seunit import naik 0.5% pada Oktober 2023, disumbangkan kenaikan indeks minyak galian (+2%), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.5%) dan bahan kimia (+0.4%). 

 

Katanya, indeks volum import turut berkembang 12.8% pada Oktober 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan kenaikan dalam indeks minyak galian (+42.3%), bahan kimia (+10.0%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+5.9%). 

 

 

dosm

 

 

"Indeks volum import pelarasan bermusim bertambah 10.5% daripada 178.4 mata kepada 197.2 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkurang 1.4 peratus manakala indeks volum naik 1.4%," katanya.

 

Di samping itu, terma perdagangan Malaysia menokok 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 111.4 mata pada Oktober 2023, didorong oleh peningkatan indeks minyak galian (+3.8%), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+0.5%) dan makanan (+0.4%). 

 

Bagaimanapun, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun susut 0.8% daripada 112.4 mata pada Oktober tahun lalu. - DagangNews.com