Ekonomi Malaysia suku pertama 2024 dianggar catat pertumbuhan 3.9% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia suku pertama 2024 dianggar catat pertumbuhan 3.9% - DOSM

Ekonomi Malaysia bertumbuh 3.9 peratus pada 1Q24 berbanding 3.0 peratus pada suku tahun sebelumnya, kata DOSM. Gambar Naim Aziz DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 April - Ekonomi Malaysia bertumbuh 3.9 peratus pada suku pertama 2024 (1Q24), berbanding 3.0 peratus pada suku tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menerbitkan anggaran awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi 1Q24.

 
Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor Perkhidmatan, dengan semua sektor utama mengalami pertumbuhan positif. 


Katanya, Sektor Perkhidmatan meningkat sebanyak 4.4 peratus (ST4 2023: 4.2%) pada suku tahun pertama 2024, disokong oleh subsektor Perdagangan borong & runcit, Pengangkutan & penyimpanan dan Perkhidmatan perniagaan.

 

 

 

 

kdn


"Sektor Pembuatan mencatatkan pemulihan kepada 1.9 peratus pada suku tahun ini selepas merekodkan penyusutan 0.3 peratus pada suku tahun keempat 2023.


Pertumbuhan sektor ini disokong oleh pembuatan Produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka; Peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan; serta Produk petroleum, kimia, getah & plastik," katanya hari ini.


Pengiraan anggaran KDNK awalan suku tahun pertama 2024 adalah berdasarkan kepada gabungan sumber data yang tersedia. 


Secara umumnya, terdapat perbezaan antara anggaran KDNK awalan dan KDNK sebenar disebabkan oleh ketersediaan data dari pelbagai sumber semasa tempoh penyusunan.

 

kdnk
 

Menurut Dr Mohd Uzir, Sektor Perlombongan & pengkuarian berkembang sebanyak 4.9 peratus (4Q23: 3.8%) pada suku tahun pertama 2024 dan pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam semua aktiviti, dengan subsektor Gas asli menjadi penyumbang utama.


Beliau menambah, Sektor Pertanian meningkat 1.3 peratus (Q423: 1.9%) pada suku ini, disumbangkan oleh pengeluaran Kelapa sawit dan Ternakan.


"Sementara itu, sektor Pembinaan menunjukkan pertumbuhan yang signifikan sebanyak 9.8 peratus berbanding 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, terutamanya dipacu oleh subsektor Kejuruteraan awam," jelasnya.- DagangNews.com