Ekonomi Malaysia kekal berkembang ketika dunia tidak menentu sekarang – Global Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia kekal berkembang ketika dunia tidak menentu sekarang – Global Juwai IQI

Usaha MITI dan MIDA dalam mempromosikan pelaburan ke Malaysia wajar diberi pujian, kata Shan Saeed.
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 23 Mac – Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terus berkembang walaupun berhadapan kelemahan makro-ekonomi global dan risiko geopolitik termasuk krisis yang berlarutan di antara Russia dan Ukraine, dan wabak  COVID-19.

 

Ketua Pakar Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata perdagangan antarabangsa Malaysia kekal pada kedudukan yang kukuh dengan peningkatan dua digit pada 2021.

 

“Ia mencerminkan bahawa dasar perdagangan dan ekonomi membawa hasil untuk negara dan meningkatkan tahap pendapatan negara.

 

“Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, terus komited untuk memberi keyakinan kepada pelabur bahawa ekonomi negara akan terus berkembang walaupun menghadapi pelbagai cabaran luaran,” katanya kepada DagangNews.Com.


 

Shan Saeed
                                                       Shan Saeed

 


Beliau ditanya sama ada ekonomi Malaysia boleh bertahan ketika kedudukan ekonomi global yang sangat tidak menentu.

 

Shan berkata prestasi perdagangan Malaysia amat mengagumkan dan terkini dan meletakkan Malaysia di hadapan rakan setara ASEAN.

 

“Justeru, wajar juga kita memuji usaha yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan  Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk melonjakkan perdagangan serta menarik pelaburan langsung asing atau FDI,” jelas beliau.

 

MIDA

 


Katanya, kedua-dua agensi kerajaan itu telah melakukan kerja yang sangat baik dalam menerajui struktur COVID-19 dengan jayanya dan meningkatkan perdagangan untuk negara.

 

Walaupun ekonomi maju sedang bergelut untuk menghadapi COVID-19 dan kembali ke Quantitative Easing (QE) atau pelonggaran kuantitatif, ASEAN dan China bergerak ke hadapan dengan keyakinan kukuh daripada pelabur tempatan dan asing.

 

Katanya, FDI adalah satu daripada tonggak utama dalam persamaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

 

“Kami di IQI Global berdiri teguh pada prospek pertumbuhan Malaysia untuk 2022 walaupun terdapat kelemahan makro-ekonomi global dan risiko geopolitik, tambah beliau.

 

Menurut Shan, Malaysia adalah sebuah ekonomi yang berkembang maju dengan penduduk muda yang bertenaga.

 

Shan berkata ekonomi yang berkembang maju membawa FDI dan kepakaran asing ke negara ini.


 

MIDA

 


Katanya faedah memajukan ekonomi terbuka adalah berdasarkan persaingan yang sihat, dan pemenang utama ialah pengguna mendapat barangan berkualiti pada harga yang kompetitif.

 

“Akibat langsung, bagaimanapun, adalah keperluan bagi industri tempatan untuk menyahut cabaran dan bersaing.

 

Shan berkata kerajaan telah melakukan kerja yang baik untuk mencapai beberapa pembolehubah untuk mendapatkan angka perdagangan yang lebih tinggi.

 

“Antaranya ialah memastikan kestabilan makroekonomi, infrastruktur yang lebih baik, pemvaksinan lebih cepat, membuka ekonomi sepenuhnya dan merangka dasar yang konsisten, tambah Shan.  DagangNews.Com