KUALA LUMPUR 15 Dis - RAM Ratings menjangkakan asas Malaysia yang luas dan pelbagai dapat menampung tekanan yang lebih kuat kepada pertumbuhan pada 2023.
Agensi penarafan itu mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang lebih perlahan antara 4 hingga 5% pada tahun hadapan berbanding anggaran 8.2% pada 2022.
Menurutnya, kelembapan ekonomi global akan menjejaskan eksport Malaysia manakala tekanan harga yang masih ketara dan keadaan monetari yang lebih ketat mungkin memberi kesan kepada penggunaan domestik.
"Bagaimanapun, permintaan domestik dijangka memacu ekonomi apabila perniagaan dan isi rumah keluar daripada bayang-bayang pandemik COVID-19 yang berlarutan.
"Pertumbuhan akan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang lebih kukuh pada tahun hadapan, dengan purata kadar pengangguran diunjurkan jatuh kepada 3.5% (berbanding anggaran 3.8% pada 2022)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah, menurutnya, penyelesaian isu berkaitan pekerja asing dan rantaian bekalan juga harus memberikan dorongan tambahan untuk pertumbuhan.
"Sebarang kemerosotan yang lebih mendadak daripada jangkaan dalam ekonomi global dan/atau inflasi domestik merupakan risiko penurunan utama untuk 2023," jelasnya.
Dari sudut fiskal, RAM Ratings berkata, paras harga komoditi yang lebih sederhana dan perbelanjaan subsidi yang berkaitan mungkin mengekalkan defisit fiskal dalam lingkungan 5.4% daripada KDNK.
Anggaran itu, katanya, masih tertakluk kepada penggubalan akhir pelan rasionalisasi subsidi untuk item utama termasuk tarif petrol dan elektrik.
"Dengan status quo, ruang fiskal semasa kekal agak ketat, dengan hutang kerajaan diunjurkan mencecah RM1.1 trilion pada 2023 (62.4% daripada KDNK).
"Sementara itu, pembayaran hutang pada 16.9% daripada jumlah unjuran hasil untuk 2023 daripada jangkaan sebanyak 15.1% pada 2022," katanya. - DagangNews.com








