Ekonomi MADANI: BNM, SC perkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Islam global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi MADANI: BNM, SC perkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Islam global

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang merangka arus Halalan Tayyiban melalui Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) dengan kerjasama industri dan ekosistem kewangan Islam bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai peneraju ekonomi Islam global.

 

Ia melibatkan kerjasama lembaga zakat dan wakaf, sistem perbankan serta pasaran saham Islam dan sukuk bagi memantapkan lagi sistem kewangan Islam di Malaysia.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha ini akan lebih menekankan pembiayaan ekuiti termasuk modal teroka, pendanaan awam ekuiti, ekonomi digital Islam, kewangan sosial Islam termasuk zakat, wakaf dan sadaqah, serta kaedah 'blended finance' yang mengunakan dana daripada sumber yang lebih luas. 

 

Katanya, pembaharuan kewangan Islam juga bakal memanfaatkan pertumbuhan dana alam sekitar, sosial dan tatakelola (ESG) sedunia. 

 

"Insya-Allah usaha-usaha ini akan dapat memantapkan lagi sistem kewangan Islam di Malaysia seterusnya memperkukuh kedudukan kita sebagai peneraju ekonomi Islam global," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

 

 

anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di ibu negara pada 27 Julai 2023. - Gambar Bernama

 

 

Menurut Anwar, usaha pembangunan negara yang holistik dan MADANI tidak mungkin tercapai tanpa sistem kewangan yang adil, ihsan dan berlandaskan maqasid syariah. 

 

"Alhamdullilah, kita punyai sistem kewangan Islam yang serba lengkap. Sejak penubuhan Bank Islam 40 tahun lalu dan Lembaga Tabung Haji 60 tahun lalu, kewangan Islam kita diiktiraf sebagai terbaik dunia oleh penganalisis bebas. 

 

"Hari ini, bahagian pasaran perbankan Islam daripada jumlah pembiayaan adalah sebanyak 44.5% (RM974.1 billion). Pasaran modal Islam pula kekal sebagai komponen utama pasaran modal Malaysia, menyumbang 64.3% (RM2,322 billion)," katanya. - DagangNews.com