KUALA LUMPUR 14 Julai - Ekonomi digital dan hijau serta integrasi lebih kukuh bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia ke dalam rantaian bekalan global adalah antara topik utama yang akan dibincangkan pada Mesyuarat Suruhanjaya Ke-7 Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan media hari ini berkata, mesyuarat itu akan diadakan dari 15 sehingga 16 Julai 2023 di Auckland, New Zealand dan delegasi Malaysia akan diketuai oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Selain ekonomi digital dan ekonomi hijau, MITI mahu memastikan manfaat daripada CPTPP turut dinikmati rakyat dan perniagaan Malaysia, khususnya PKS yang mesti diintegrasikan dengan lebih baik ke dalam rantaian bekalan global,” katanya.
Mesyuarat itu juga dijangka menyaksikan penyertaan United Kingdom sebagai anggota ke-12, di mana pada masa ini dianggotai oleh Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Semasa mesyuarat di New Zealand, MITI berkata menteri-menteri CPTPP akan meneruskan penglibatan mereka bagi memastikan pelaksanaan CPTPP berkesan, yang ditandatangani pada 8 Mac 2018 di Santiago, Chile.
“Selaku pengerusi CPTPP untuk 2023, New Zealand dijangka memacu perbincangan mengenai bidang tumpuan keutamaan CPTPP, terutamanya memajukan ekonomi hijau dan meningkatkan kemudahan ekonomi digital, termasuk pentadbiran dan proses kastam,” katanya.
Tengku Zafrul juga dijadualkan mengadakan penglibatan dua hala dengan rakan sejawat dari New Zealand, Kanada dan Jepun bagi membincangkan hal perdagangan dan pelaburan yang mempunyai kepentingan bersama. - DagangNews.com








