Ejen2u International berjaya bantu usahawan tingkatkan jualan bernilai RM473 juta menerusi platform EjenGo | DagangNews Skip to main content

Ejen2u International berjaya bantu usahawan tingkatkan jualan bernilai RM473 juta menerusi platform EjenGo

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Mac - Ejen2u International Sdn Bhd telah berjaya membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pemula Malaysia berdaftar di platform EjenGo meningkatkan jualan bernilai RM473 juta.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata pertumbuhan syarikat memberangsangkan sejak dilancarkan pada tahun 2019, dengan lebih 400 syarikat dan 270,000 ejen berdaftar.

 

Tambahnya, platform EjenGo telah terbukti sebagai alat yang berkesan untuk perniagaan, dengan beberapa pelanggan mereka telah mencatatkan peningkatan pendapatan sehingga 500%.

 

Pengasas dan CEO Ejen2u International, Sheikh Ezaiddin berkata pertumbuhan eksponen komuniti penjual semula adalah bukti komitmen syarikat itu memperkasakan  mereka.

 

“Tonggak sejarah ini menunjukkan kesan platform kami dan lebih penting lagi, semangat keusahawanan yang kuat dalam pengguna kami,” katanya.

 

Menurut beliau, platform ini telah memudahkan pembangunan 589 usahawan wanita, menghasilkan pendapatan kolektif sebanyak RM345 juta manakala 18,000 pengguna berusia 50 tahun ke atas turut berjaya menghasilkan pendapatan gabungan sebanyak RM26.8 juta.

 

 

Sheikh Ezaiddin
Sheikh Ezaiddin

 

 

Selain itu, golongan usahawan yang kurang mendapat perhatian diberi peluang menjadi penjual semula.

 

Syarikat itu berkata, penggunaan platform Ejen2u selama setahun telah meningkatkan pertumbuhan pendapatan dan jumlah penjual semula, dengan pendapatan melonjak 5.3 kali dan peningkatan penjual semula sebanyak 6.3 kali secara tahunan.

 

Di samping itu, syarikat itu juga telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Affin Bank bagi meningkatkan ketersampaian kewangan PKS.

 

Kerjasama ini akan memanfaatkan rangkaian ejen Ejen2u dan kepakaran Affin Bank dalam perbankan dan kewangan untuk memberi PKS akses mudah kepada produk dan perkhidmatan kewangan yang memenuhi keperluan khusus mereka.

 

“Kisah kejayaan reseller di platform EjenGo dan angka pertumbuhan yang mengagumkan adalah bukti kesungguhan Ejen2u menyokong keusahawanan dan inovasi di Malaysia.

 

Melalui kerjasama dengan organisasi yang sehaluan seperti Affin Bank, Ejen2u akan terus memberikan peluang kepada PKS dan usahawan untuk berkembang dan maju,” tambahnya. -DagangNews.com