Econpile dijangka hadapi tekanan margin keuntungan akibat kenaikan kos operasi, bahan mentah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econpile dijangka hadapi tekanan margin keuntungan akibat kenaikan kos operasi, bahan mentah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - Malacca Securities menjangkakan Econpile Holdings Berhad akan mengalami tekanan margin keuntungan akibat kenaikan kos operasi dan bahan mentah bagi kerja-kerja pembinaan asas serta ruang bawah tanah bagi bangunan industri setinggi lima tingkat di Petaling Jaya, Selangor.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tempoh keseluruhan kotrak pembinaan bernilai RM23 juta itu adalah selama sembilan bulan dan dijangka bermula 18 April 2022 dan mereka menerima surat lantikan daripada CJ Synergy Sdn. Bhd. pada 12 April 2022. 

 

"Kami percaya projek berkenaan akan menyumbang sejumlah 10% hingga 15% margin keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang dilihat lebih rendah berbanding kerja-kerja sebelum ini yang melibatkan pemasangan cerucuk dan projek pembangunan bertingkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek mega berkenaan adalah yang kedua diraih Econpile untuk FY22F dan tempahan semasa mereka berada pada kedudukan RM108 juta iaitu 54% daripada jangkaan RM200 juta mereka untuk tahun ini.

 

Katanya, buat masa sekarang tempahan keseluruhan Econpile adalah sebanyak RM650 juta dan ia akan memberikan kedudukan kewangan stabil untuk tempoh dua tahun akan datang.

 

"Walaupun jumlah itu lebih rendah daripada jangkaan kami dengan baki dua bulan lebih sebelum tahun kewangan 2022 berakhir, namun kami yakin prospek masa hadapan mereka akan bertambah baik dalam beberapa bulan akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, nilai keseluruhan industri pembinaan menurun sebanyak 5% dari tahun ke tahun kepada RM112 bilion.

 

Bagaimanapu, mereka percaya keadaan itu akan bertambah baik selaras dengan pemulihan ekonomi pada 2022 dengan kerja-kerja pembinaan akan kembali normal seperti sebelum pandemik.

 

"Selepas mengambil kira keadaan tempahan semasa tidak mencapai jangkaan, kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan mereka dan pada masa sama kami mengekalkan saranan 'pegang' untuk EConpile ada harga sasaran (TP) RM0.32," katanya. - DagangNews.com