ECM Libra cadang ambil alih 2 hartanah di Liverpool berharga RM26.4 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECM Libra cadang ambil alih 2 hartanah di Liverpool berharga RM26.4 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Nov - ECM Libra Group Berhad menerusi ECM Libra (Liverpool) Ltd. dan ECM Libra (Liverpool) OpCo Ltd. memeterai perjanjian pembelian perniagaan (BPA) bersama Castle Street Liverpool LLP and CSL Opco Ltd. bagi cadangan pengambilalihan dua unit hartanah di Liverpool berharga RM26.4 juta.

 

Pembelian hartanah itu melibatkan bangunan pegangan pajakan di Queen Buildings, Castle Street, Liverpool L2 4XE bersama perniagaan Tune Hotel selain bangunan kedai di 17 Castle Street, Liverpool L2 4SX.

 

Hotel itu merupakan hotel bertaraf tiga bintang dengan 100 bilik dengan lobi terbuka di atas bangunan empat tingkat serta terletak di lokasi yang strategik di Castle Street yang popular di tengah-tengah pusat bandar Liverpool.

 

Pertimbangan pembelian itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman.

 

"Pengambilalihan itu adalah selaras dengan inisiatif kepelbagaian perniagaan kumpulan itu kerana ia menjadi tambahan kepada aset hospitaliti sedia ada selain membolehkan mereka mempelbagaikan aset di luar negara. 

 

"Hartanah itu terletak di tengah-tengah pusat bandar Liverpool dan dijangka mendapat manfaat daripada kehadiran pelancong ke kawasan itu," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek hartanah itu, kumpulan itu berkata, pemerolehan itu memberikan prospek menarik bagi mengembangkan jejaknya dalam sektor hospitaliti di Liverpool.

 

Hartanah itu terletak hanya lima minit dari Dewan Perbandaran Liverpool, Pusat Beli-belah Liverpool One, Cavern District, Stesen Lime Street dan kawasan dermaga Albert Dock. - DagangNews.com