KUALA LUMPUR 14 Julai - Sebuah syarikat baharu dalam teknologi hijau Malaysia, Eclimo Sdn Bhd telah melancarkan e-motosikal trak makanan mudah gerak yang mungkin menjadi pertama di dunia.
EclimoES11, yang menjadi sebahagian daripada kumpulan motosikal elektrik syarikat, telah dipertingkatkan dengan menambah beg pembawa tersuai yang boleh membekalkan kuasa kepada gril atau dapur diletakkan di dalam beg.
Beg itu dapat berfungsi sebagai dapur dengan menggunakan Sistem Pengawasan Bateri Berstruktur Nano (BMS) yang membolehkan usahawan makanan menyediakan nasi lemak, piza atau membakar sate di mana-mana sahaja dengan peralatan yang terdapat di dalam beg pembawa.
E-kenderaan ini juga boleh memainkan peranan sebagai sumber kuasa untuk generator jika pemilik memilih untuk membuka gerai tepi jalan di pasar malam atau menjadi vendor makanan di acara keramaian.
ES11 dilengkapi dengan kemudahan palam 3 pin yang mana vendor boleh memasang dan mengecas pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Malah sistem BMS juga boleh mengawasi keadaan bateri dengan menghantar peringatan apabila voltan bateri berkurangan.
Para usahawan tidak perlu lagi risau tentang masalah kehabisan kuasa bateri. Cas penuh memberikan anda jarak perjalanan sejauh 100 kilometer (km) dan dengan setiap 100 km perjalanan, anda akan menjimatkan pelepasan karbon dioksida sehingga 7 kilogram.
Pengarah Eksekutif Eclimo Sdn Bhd, Datuk Dennis Chuah berkata, sejak negara memasuki fasa endemik, Eclimo telah menyaksikan peningkatan permintaan daripada usahawan makanan yang tidak mahu berdepan dengan masalah sewa tinggi atau kekurangan pekerja untuk mengendalikan restoran atau gerai makan.

“Rakyat Malaysia suka makan dan kami melihat ini sebagai satu peluang untuk mengubahsuai kenderaan elektrik dan memberi peluang kepada kumpulan B40 untuk memulakan perniagaan kecil menerusi model perniagaan keusahawanan mikro mobiliti ini.
“Buat masa ini kami memiliki 25 buah unit motosikal yang kami sewakan antara RM 20 hingga RM 30 sehari. Kami menjangkakan bilangan ini akan bertambah kepada 100 unit menjelang akhir tahun ini. Beg pembawa boleh disesuaikan mengikut keperluan tersendiri vendor makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, inovasi itu menjadi insentif tambahan kepada rakyat Malaysia untuk menerima teknologi hijau dan menggunakannya secara bermanfaat untuk meningkatkan ekonomi mereka.

E-motosikal juga menerima sambutan daripada para penghantar, termasuklah jenama-jenama seperti Dome, GrabFood, Huckleberry, DHL dan Pos Malaysia.
Eclimo turut menjadi rakan niaga Gentari, sebuah entiti bebas milik Petronas yang menjadi sebahagian daripada penyelesaian fleet bersih kenderaan sebagai perkhidmatan (VaaS). Gentari telah diperkenalkan untuk mempercepatkan penggunaan tenaga bersih secara komersial.
Eclimo merancang untuk mengembangkan fleet e-motosikal tersuai meliputi vendor makanan di rantau Asia Tenggara pada tahun hadapan. - DagangNews.com








