KUALA LUMPUR 5 Julai - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan untuk menarik pelaburan berpotensi bernilai RM5 bilion daripada firma terkemuka Korea Selatan.
Ia membabitkan sektor petrokimia, bahan kimia khusus dan termaju untuk membangunkan kilang-kilang pembuatan baharu di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, misi tersebut merupakan kesinambungan daripada komunikasi berterusan antara pihak ECERDC dengan para pelabur di Korea Selatan sejak dua tahun lalu.
Katanya, misi pelaburan ke Korea Selatan pada 25 Jun hingga 2 Julai lalu dijangka mengukuhkan hubungan dua hala dan menarik lebih banyak pelaburan berpotensi daripada syarikat Korea Selatan ke ECER.
"ECERDC menaruh keyakinan tinggi bahawa syarikat-syarikat ini akan melabur di Wilayah ECER, khususnya di Terengganu.
"Rakan kongsi strategik ECERDC turut sama menyertai delegasi ini bagi memudahcara proses perundingan dalam memenuhi sebarang keperluan bakal pelabur, sekali gus menambahkan keyakinan mereka untuk melabur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baidzawi mengetuai misi pelaburan itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dalam usaha mempromosikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai destinasi pelaburan pilihan buat para pelabur berpotensi di Korea Selatan.
Delegasi berpeluang mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil dari subsektor berpotensi lain yang menunjukkan minat untuk melabur dalam bidang bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan perkhidmatan ICT di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Korea Selatan merupakan salah satu rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan berjumlah RM79.78 bilion pada tahun 2020.
Sementara itu, Tengku Hassan berkata, Taman Biopolimer Kerteh ECERDC, kini menempatkan perusahaan CJ Bio Malaysia hasil pelaburan lebih RM2 bilion daripada konglomerat Korea, CJ Cheiljedang.
"Kerajaan Negeri Terengganu komited dalam menjalin kerjasama yang lebih erat dengan ECERDC bagi meningkatkan kesedaran tentang tarikan pelaburan yang ada di negeri Terengganu buat pelabur Korea Selatan,” tambahnya. - DagangNews.com








