KUALA LUMPUR 13 Sept - Sebuah syarikat pengurusan skim kongsi tani kelapa sawit di Sabah dan pegawai-pegawainya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 12 September 2024 atas tiga pertuduhan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45(1)(f) Akta Skim Kepentingan 2016.
Berdasarkan kertas pertuduhan, East West Horizon Plantation Berhad (EWHPB), sebuah syarikat pengurusan yang mengendalikan skim kongsi tani itu yang dikenali sebagai East West Horizon Planter's Scheme (EWHPS) bersama pegawainya, Dr. Jessie Tang dan Terrence Mark didapati gagal mematuhi klausa 20.1 Surat Ikatan Amanah bertarikh 24 Disember 2012 yang dibaca bersama Surat Ikatan Amanah Tambahan Kedua bertarikh 23 Januari 2015.
SSM dalam kenyataan berkata, EWHPB dikatakan telah gagal untuk memasukkan wang berjumlah RM9.65 juta ke dalam Reserve Fund Trust Account milik pemegang amanah, Pacific Trustee Berhad pada 1 Januari 2023 bagi tujuan pembayaran Monthly Net Return suku tahun pertama 2023 kepada para pelabur skim EWHPS.
"Ketiga-tiga tertuduh memohon untuk dibicarakan setelah pertuduhan dibacakan.
"Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh 15 Oktober 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pertuduhan terhadap EWHPB dibacakan," katanya hari ini.
Menurut SSM, Seksyen 45(2) Akta Skim Kepentingan 2016 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai-pegawai pendakwa daripada SSM, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman, Faizal Mahdi Mahmud dan Liyana Amira Kamaludin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam, Mohd Haziq Dhiauddin Razali.
"SSM ingin mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat serta pengesahan lanjut daripada pihak SSM atau badan penguatkuasaan lain mengenai skim pelaburan atau kepentingan yang mencurigakan yang ditawarkan oleh mana-mana syarikat atau perniagaan," jelasnya.
Sementara itu, EWHPB dan pegawainya bersedia untuk mempertahankan tuduhan tersebut di mahkamah, kata firma itu dalam kenyataan hari ini.
"Kami ingin memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan dan pelabur bahawa EWHPB akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh SSM.
"Kami memahami kepentingan proses ini dan komited untuk memberikan bantuan yang diperlukan bagi memastikan semakan yang adil dan telus terhadap situasi ini," ujarnya.
Tambah kenyataan itu, dalam Mesyuarat Penanam yang diadakan pada 12 Ogos 2024 baru-baru ini, East West One Group (EWOG) berjaya memperoleh kelulusan majoriti penanam untuk Latihan Pemulihan dan Penstrukturan (R&R).
"Kelulusan ini membuka jalan bagi syarikat untuk segera memulakan pemulihan aset perladangan bagi memulihkan nilai mereka dan memastikan kelestarian jangka panjang," katanya.- DagangNews.com