e-Filing Tahun Taksiran 2020 bermula 1 Mac | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

e-Filing Tahun Taksiran 2020 bermula 1 Mac

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Proses pengemukaan Borang Nyata Tahun Saraan 2020 dan Tahun Taksiran 2020 melalui e-Filing bagi Borang E, BE, B, M, BT,MT, TF dan TP boleh dibuat bermula 1 Mac 2021.

 

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkata, Pembayar cukai boleh mengakses sistem e-Filing melalui portal rasmi LHDN di pautan www.hasil.gov.my (> MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing).

 

"Pembayar cukai yang log masuk kali pertama ke sistem e-Filing perlu mendapatkan No. PIN terlebih dahulu dengan hadir ke kaunter cawangan LHDN atau secara dalam talian melalui Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN.

 

"Sekiranya pembayar cukai terlupa kata laluan e-Filing, tindakan set semula kata laluan tersebut boleh dilakukan secara dalam talian iaitu melalui e-mel atau nombor telefon bimbit yang berdaftar dengan LHDN.

 

"Bagi pembayar cukai yang masih menghadapi masalah dalam melakukan tindakan set semula kata laluan e-Filing, mereka boleh menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (Dalam Negara) / 603-8911 1100 (Luar Negara) atau kunjungi kaunter perkhidmatan LHDNM yang berhampiran," jelas LHDN dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam kenyataan yang sama, LHDN menjangkakan hampir 530,000 Borang E Tahun Saraan 2020 akan diterima daripada para majikan berdaftar.

 

Sementara Borang BE, B, BT, M dan MT pula, LHDN menjangkakan sekitar 3.27 juta borang akan diterima daripada individu yang mempunyai rekod Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Ansuran CP500 dalam tahun 2020.

 

Maklumat lanjut berkenaan Program Memfail Borang Nyata Bagi Tahun 2021 boleh dirujuk di portal rasmi www.hasil.gov.my atau boleh klik pada pautan  http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2021_1.pdf untuk capaian pantas.

 

"Pembayar cukai disarankan untuk mengemukakan Borang Nyata dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti lewat hantar Borang Nyata dan kenaikan lewat bayar cukai dikenakan terhadap mereka," ujar LHDN lagi. - DagangNews.com