Dynaciate cadang ambil alih tanah perindustrian pegangan bebas RM12 juta di Bentong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dynaciate cadang ambil alih tanah perindustrian pegangan bebas RM12 juta di Bentong

Kilang Dynaciate Group Berhad di Pasir Gudang, Johor. - Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Dynaciate Group Berhad (Dynaciate) hari ini mengumumkan cadangan pengambilalihan tanah perindustrian pegangan bebas sebagai sebahagian daripada strategi berterusannya untuk mengenal pasti, melabur dan membangunkan tanah dan bangunan perindustrian yang berpotensi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Dynaciate berkata, anak syarikat milik penuhnya, Magnitude Resources Sdn. Bhd telah memeterai perjanjian jual beli dengan Powernet Industries Sdn. Bhd. (PISB) bagi cadangan pengambilalihan tanah perindustrian pegangan bebas dengan bangunan yang berada di Bentong, Pahang (Hartanah Bentong) dengan jumlah pertimbangan tunai RM12.0 juta.

 

PISB terbabit terutamanya dalam pembuatan tekstil fabrik ‘warp-knitted’. Ia merupakan anak syarikat milik penuh KPower Berhad yang disenaraikan di Pasaran Utama, yang mana merupakan syarikat pemegangan pelaburan yang memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, aktiviti berkaitan pembinaan dan perkhidmatan kejuruteraan khusus.

 

Hartanah Bentong adalah tanah perindustrian pegangan bebas berkeluasan kira-kira 5.8 ekar, dengan bangunan pejabat dua tingkat ditambah dengan kilang satu tingkat, gudang berkembar dua tingkat dan satu tingkat, serta kelengkapan bangunan yang termasuk mesin, loji, bahan dan peralatan.

 

Ia adalah lokasi yang wajar mendapat perhatian, iaitu berhampiran kawasan perindustrian Bentong, hanya 5.3 kilometer ke Tenggara Pekan Bentong, dan 2.1 kilometer ke utara Plaza Tol Bentong Lebuhraya Karak. 

 

Hartanah Bentong itu dijangka mendapat manfaat daripada projek lain yang berdekatan seperti Taman Perindustrian Malaysia China Kuantan (MCKIP) dan pemulihan Projek Terowong Genting Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong.

 

Pengarah Eksekutif Dynaciate Group Berhad, Melvin Lim berkata, setelah melihat peningkatan permintaan dan pertumbuhan dalam pasaran hartanah industri di Malaysia, mereka yakin cadangan pengambilalihan itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan. 

 

 

dynaciate
Melvin Lim

 

 

"Ini diambil kira dengan lokasi yang strategik bagi Hartanah Bentong, serta peruntukan untuk peningkatan nilai hartanah pada masa hadapan di sekitar kawasan tersebut. Kami sedang giat mengembangkan portfolio hartanah kami, memanfaatkan sumber pembinaan kumpulan khususnya dalam sektor tanah dan bangunan perindustrian untuk meningkatkan nilai pelaburan hartanah kami. 

 

"Melangkah ke hadapan, strategi portfolio muktamad kami adalah untuk mengenal pasti, melabur dan membangunkan peningkatan modal yang sentiasa berkembang dan potensi pendapatan sewa dalam pasaran perindustrian tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

 

Cadangan pengambilalihan terbaru yang akan dibiayai melalui peminjaman, dijangka selesai pada suku kedua tahun 2022. Dynaciate pada 7 Jun 2022 telah mencadangkan untuk melupuskan salah satu tanah pegangan bebasnya dengan bangunan yang didirikan terletak di Pulau Pinang pada harga RM80.0 juta. 

 

Nilai pasaran hartanah tersebut menyaksikan peningkatan yang ketara sejak beberapa tahun, dan dengan mengewangkan pelaburannya dalam hartanah subjek, kumpulan mampu merealisasikan keuntungan bersih kira-kira RM19.8 juta.

 

Pemerolehan daripada pelupusan itu akan digunakan sebahagian besarnya untuk perniagaan hartanahnya (iaitu pembinaan, pembangunan dan pelaburan hartanah perindustrian) untuk diperuntukkan ke arah peningkatan modal dan potensi keuntungan hasil daripada pelbagai pelaburan hartanah. - DagangNews.com