Duti anti-lambakan dikenakan terhadap import dawai keluli berlembar dari China - MITI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duti anti-lambakan dikenakan terhadap import dawai keluli berlembar dari China - MITI

Gambar hiasan

 

 

KUALA LUMPUR 24 Dis - Kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti anti-lambakan ke atas import dawai keluli berlembar bagi konkrit prategasan dari China dengan nilai margin lambakan, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan hari ini.

 

Jelasnya, dawai keluli berlembar bagi konkrit prategasan berasal atau dieksport dari China yang diimport ke Malaysia dengan harga lebih rendah berbanding harga jualan di China, telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa.

 

Sehubungan itu, MITI berkata, kerajaan telah menjalankan penyiasatan terperinci mengenai dagangan subjek, selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994.

 

"Siasatan itu dijalankan berdasarkan petisyen yang difailkan Southern PC Steel Sdn. Bhd. yang mewakili industri tempatan di Malaysia," katanya.

 

Menurut kementerian itu, ia akan mengenakan duti anti-lambakan sebanyak 94.7% terhadap Silvery Dragon Prestressed Materials Co Ltd. Tianjin, 2.09% kepada Tianjin Dalu Steel Strand For Prestressed Co Ltd, dan 21.72% kepada pengeluar/pengeksport lain.

 

Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menguatkuasakan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek untuk tempoh 5 tahun, berkuat kuasa 25 Disember 2021 sehingga 24 Disember 2026.

 

"Melalui pengenaan duti anti-lambakan terhadap import dagangan subjek dari China, ia dijangka  menangani isu amalan perdagangan yang tidak adil,” tegasnya. - DagangNews.com