KUALA LUMPUR 22 Dis - Duopharma Biotech Berhad, menerusi anak syarikatnya, Duopharma Consumer Healthcare Sdn Bhd (DCHC), telah memeterai perjanjian pengedaran dengan Tepanouits Pty Ltd untuk memasarkan rangkaian produk penjagaan rambut Iroro Nutreatment Healthy Hair Growth di Australia.
Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat farmaseutikal Malaysia itu berkata perjanjian tersebut adalah susulan perjanjian pengedaran produk yang dimeterainya dengan syarikat teknologi sel stem berpangkalan di Korea Selatan iaitu SCM Lifescience, Inc., pemilik jenama Iroro Nutreatment, dan kejayaan rangkaian produk Iroro diperakui halal yang dicipta untuk pasaran Malaysia.
Tepanouits Pty Ltd adalah syarikat jualan berpangkalan di Australia, khusus dalam membekalkan produk farmaseutikal yang diperibadikan untuk kegunaan perubatan dan veterinar, mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam segmen kosmeseutikal serta e-dagang.
Ketua Pegawai Eksekutif DCHC, Shamsul Idham Ahad berkata kerjasama tersebut merupakan satu lagi kejayaan dalam pengembangan Duopharma dalam segmen kosmeseutikal.
“Rangkaian Iroro Nutreatment Healthy Hair Growth yang diperakui halal yang dirumus khas untuk Malaysia sangat berjaya di sini dan kami berbesar hati untuk meluaskan jangkauan pasaran kami ke Australia melalui kerjasama ini.
“Pengalaman mereka dalam segmen rambut dan dermatologi juga kerana e-dagang di Australia menjadikan mereka pengedar yang ideal untuk rangkaian Iroro,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.
Shamsul menambah bahawa dengan populasi yang semakin tua, syarikat itu menjangkakan terdapat permintaan sihat untuk produk anti keguguran rambut di Australia.
Katanya, negara itu juga mempunyai pasaran penjagaan diri dan kesihatan yang semakin berkembang, disokong oleh keutamaan pengguna terhadap produk semula jadi, organik dan terbukti secara saintifik.
Menurut Duopharma, rangkaian Iroro Nutreatment Healthy Hair Growth, yang menggunakan teknologi sel stem sebagai bahan aktifnya, mampu menggalakkan pertumbuhan rambut serta penambahbaikan kulit kepala.
“Dalam penemuan yang disahkan oleh institusi klinikal diperakui secara nasional di Korea Selatan, penyelidik mendapati bahawa selepas dua minggu menggunakan produk Iroro Nutreatment Healthy Hair Growth, peserta penyelidikan mengalami peningkatan dalam kebersihan liang kulit kepala dan tahap kelembapan kulit tanpa sebarang kerengsaan kulit diperhatikan,” tambahnya. - DagangNews.com








