DPMM, RichWorks anjur Program Pembangunan Keusahawanan bagi perkasakan lebih 30,000 usahawan mulai September ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DPMM, RichWorks anjur Program Pembangunan Keusahawanan bagi perkasakan lebih 30,000 usahawan mulai September ini

Datuk Wira Dr Azizan Osman (dua, kanan) bersama Norsyahrin Hamidon (dua, kiri) ketika menandatangani perjanjian persefahaman usaha sama antara DPMM dan RichWorks di ibu negara pada 15 Ogos 2023. Turut kelihatan, Setiausaha Agung DPMM, Ahmad Yazid Othman (kiri) dan Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd (kanan). - Foto DagangNews/Mohd Naim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dengan kerjasama RichWorks International Sdn Bhd akan menganjurkan Program Pembangunan Keusahawanan dalam usaha membantu memperkasakan lebih 30,000 usahawan Bumiputera di seluruh negara, mulai September ini.

 

Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon berkata, program tersebut akan bermula di Pulau Pinang dan pihaknya akan bertemu para usahawan di bawah DPMM yang memerlukan bantuan berhubung permasalahan perniagaan mereka.

 

Beliau berkata, pihaknya juga sedang merangka program-program terbaik, termasuk mentor-mentee untuk membantu meningkatkan prestasi perniagaan usahawan berkenaan.

 

Katanya, usahawan berdepan banyak cabaran ketika ini dengan kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan bahan mentah, termasuk kadar pinjaman bank menyebabkan kos operasi perniagaan semakin meningkat.

 

"Antara entiti yang kami dapati sangat bersesuaian dengan matlamat kami untuk membantu usahawan adalah RichWorks. 

 

"Ini kerana mereka berjaya membimbing ribuan usahawan dan kami berharap segala kelebihan RichWorks dapat dinikmati bersama usahawan-usahawan DPMM," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

 

Terdahulu, DPMM yang diwakili oleh Norsyahrin menandatangani perjanjian persefahaman usaha sama dengan RichWorks yang diwakili Pengerusinya merangkap Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman.

 

 

richworks

 

 

Azizan berkata, kerjasama ini tepat pada masanya dalam era polikrisis ketika ini yang mana ramai usahawan yang terkesan. 

 

"Kesannya adalah dahsyat sebenarnya daripada pandemik sebab situasinya nampak normal, sebenarnya tidak normal. 

 

"Kita melihat beberapa tahun akan datang ini menjadi lebih kritikal kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Mudah-mudahan kita dapat merangka hala tuju ini dengan lebih baik," katanya.

 

 

richworks

 

 

Beliau berkata, pihaknya turut menawarkan usahawan-usahawan di bawah DPMM menyertai klinik usahawan dan program 10x Bina Bisnes Berjaya secara percuma pada 2 hingga 3 September ini.

 

"Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mereka bagaimana untuk menguruskan persaingan dalam perniagaan," katanya. - DagangNews.com