DOSM, UNITAR meterai MoU teroka kerjasama analisis data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DOSM, UNITAR meterai MoU teroka kerjasama analisis data

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (dua dari kiri) dan Naib Canselor UNITAR Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar (dua dari kanan) memeterai MoU yang turut disaksikan oleh pegawai kanan kedua-dua agensi tersebut.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan UNITAR International University (UNITAR) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) teroka kerjasama dalam penganalisaan data, penyelidikan perkongsian hasil analisis serta penemuan baru.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata MoU tersebut juga melaksanakan kerjasama berkaitan penyelidikan dan perkongsian ilmu dalam bidang statistik, pembekalan, penyimpanan dan pertukaran maklumat dan peningkatan mutu maklumat rasmi seperti yang tertakluk oleh undang-undang yang akan dipersetujui bersama.

 

“Beberapa inisiatif telah dilaksanakan dalam konteks pemodenan DOSM seperti pembangunan Portal OpenDOSM NextGen, aplikasi mudah alih dan statistik MyLocal Stats dan Kawasanku.

 

“Ia memaparkan statistik kependudukan dan indikator demografi serta sosioekonomi peringkat granular yang boleh menjadi nadi kepada perancangan lebih khusus dan spesifik mengikut bidang tumpuan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai rujukan dan analisis perbandingan.

 

“Dengan maklumat ini, ia dapat memudahkan kerjasama dalam penyelidikan bersama kelak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Menurut beliau, kerjasama terbabit dijangka menyokong pembangunan pakar bidang di kedua-dua pihak bagi memenuhi keperluan data semasa dan akan datang dengan menerima pakai teknik statistik terkini, penerapan sains data dan analitik serta pendekatan inovatif lain.

 

MoU antara DOSM bersama UNITAR ini merupakan MoU yang ke-24 ditandatangani DOSM bersama institusi pengajian tinggi.  - DagangNews.com