KUALA LUMPUR 10 April - Bilangan penganggur pada Februari 2023 terus menyusut 3.5% kepada 591,900 orang berbanding 596,100 yang dicatatkan pada Januari, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran buruh negara terus stabil sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa.
Oleh itu, katanya, bilangan tenaga buruh pada Februari berada pada trend menaik, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2% kepada 16.78 juta orang berbanding 16.76 juta orang dalam Januari, merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi sebanyak 69.9% dalam Februari berbanding Januari pada 69.8%.
“Situasi yang menggalakkan ini ada berikutan pertambahan berterusan dalam bilangan pekerja, manakala bilangan penganggur menunjukkan trend menurun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas berkenaan kedudukan guna tenaga, Mohd Uzir berkata, kategori pekerja merangkumi 75.7% daripada jumlah individu bekerja pada Februari disebabkan rekod peningkatan 0.1% mencecah 12.25 juta orang berbanding 12.24 juta pada Januari.
“Penduduk bekerja sendiri turut mencatatkan peningkatan 0.5%, merekodkan 2.89 juta orang pada Februari 2023 berbandung 2.88 juta dalam Januari,” jelasnya.
Dari segi sektor ekonomi, menurut beliau, bilangan pekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; dan aktiviti pentadbiran dan perkhidmatan sokongan.
Di samping itu, bilangan individu yang bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan kuari, serta pertanian juga menunjukkan trend yang sama, tambahnya. -DagangNews.com








