DoctorOnCall, BUMITRA Malaysia meterai MoU galak vaksinasi untuk jemaah haji, umrah | DagangNews Skip to main content

DoctorOnCall, BUMITRA Malaysia meterai MoU galak vaksinasi untuk jemaah haji, umrah

Harun KC Ahmmu (dua dari kiri) dan Hazwan Najib (dua dari kanan) ketika majlis menandatangani MoU di pejabat BUMITRA Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Jun - Platform kesihatan digital Malaysia, Health Digital Technologies Sdn. Bhd. (DoctorOnCall) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA Malaysia) bagi meningkatkan proses vaksinasi kesihatan dalam kalangan jemaah yang merancang untuk menunaikan ibadat haji atau umrah di Arab Saudi. 

 

Platform itu akan disediakan kepada jemaah yang merancang melaksanakan ibadat haji atau umrah dengan mana-mana agensi pelancongan di bawah BUMITRA yang mengambil bahagian. 

 

Platform DoctorOnCall akan digunakan sebagai pangkalan data dalam talian bagi penyedia penjagaan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan vaksinasi di seluruh negara. Penggunaan pangkalan data itu akan membantu jemaah haji mencari dan mengenal pasti klinik yang sesuai, bereputasi dan disahkan untuk melakukan vaksinasi.

 

Vaksinasi yang ditawarkan melalui DoctorOnCall meliputi vaksin untuk meningokokus, influenza dan COVID-19. 

 

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa jemaah haji untuk memasukkan vaksin pneumokokal sebagai sebahagian daripada inokulasi mereka untuk meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan pneumokokal yang serius dan berpotensi membawa maut, DoctorOnCall akan memberi penekanan kepada penyedia vaksin pneumokokal supaya memastikan lebih ramai jemaah akan mendapat akses kepada vaksin tersebut.

 

Pengarah dan Pengasas Bersama DoctorOnCall, Hazwan Najib berkata, dengan kebangkitan semula pelancongan berkaitan keagamaan ketika negara memasuki dunia pasca-pandemik, keadaan kesesakan di tempat ibadat tidak dapat dielakkan. 

 

"Ini menjadikan jemaah haji lebih mudah dijangkiti penyakit berjangkit. Pemberian vaksinasi dengan vaksin yang diwajibkan oleh Kerajaan Arab Saudi akan memberi keyakinan dan ketenangan fikiran bagi jemaah dalam melakukan ibadat mereka, terutamanya bagi mereka yang mempunyai komorbiditi perubatan berisiko tinggi ketika terdedah kepada orang ramai.

 

“Platform DoctorOnCall akan menggalakkan pengambilan vaksin untuk jemaah haji yang lebih selamat dengan memudahkan proses vaksinasi. Menggunakan platform ini, proses membuat temu janji untuk melakukan vaksinasi dipermudahkan kerana jemaah haji tidak perlu lagi melakukan perjalanan dan menunggu berjam-jam dalam barisan di kemudahan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Presiden BUMITRA Malaysia, Harun KC Ahmmu pula berkata, kesihatan dan keselamatan jemaah adalah teras dalam perkhidmatan yang ditawarkan dan mereka sentiasa secara berterusan menambah baik cara dan kaedah menjaga kesihatan jemaah haji sepanjang perjalanan ibadat mereka di tanah suci.

 

"Bersama DoctorOnCall, jemaah haji kami akan diperkasakan dengan bukan sahaja vaksinasi yang diperlukan tetapi juga kesedaran dan pengetahuan yang lebih baik mengenai penyakit berjangkit ini dan seterusnya membantu lebih ramai jemaah Malaysia menjaga kesihatan dan memberikan mereka pengalaman ziarah tanpa bimbang,” katanya.

 

Majlis menandatangani MoU diadakan di pejabat BUMITRA Malaysia di Kuala Lumpur pada 9 Jun 2022 dengan dokumen ditandatangani oleh Hazwan Najib dan Harun KC Ahmmu. Majlis pemeteraian itu turut disaksikan oleh Leong Shook Ye dari DoctorOnCall dan Ab Rahman Mohd Ali dari BUMITRA Malaysia.

 

Pihak yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan vaksinasi tersebut boleh mengunjungi laman web https://www.doctoroncall.com.my dan klik pada Pakej Vaksinasi Haji & Umrah. - DagangNews.com