KUALA LUMPUR 30 Okt - Dagang NeXchange Berhad (DNeX), melalui anak syarikat Ping Petroleum Sdn Bhd (PPSB), telah menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) baharu dengan Petronas bagi membangunkan dan mengeluarkan sumber petroleum dan gas di medan Kluster Abu.
PSC terbabit dipasarkan di bawah Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) 2022 Petronas, yang menawarkan pelbagai peluang huluan kepada pelabur, termasuk keluasan penerokaan, peluang penemuan sumber dan aset penghasilan lewat hayat.
Kontrak 10 tahun tersebut akan dijalankan di kluster Abu, yang mempunyai tiga medan iaitu Abu, Abu Kecil dan Abu SW Upthrown, terletak kira-kira 250 km dari pantai timur Semenanjung Malaysia.
PPSB merupakan anak syarikat Ping Petroleum Ltd.
Menurut Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengerusi Eksekutif DNeX kontrak baharu itu mencerminkan rekod prestasi Ping Petroleum sebagai pengendali berpengalaman dalam menguruskan operasi yang selamat dan mesra alam di luar negara, serta komitmen syarikat membina portfolionya di negara sendiri.
“Kami komited untuk menyumbang kepada bekalan tenaga domestik Malaysia, mengejar peluang melalui kerjasama yang diperkukuh dengan Petronas dan membina portfolio aset pengeluaran strategik kami dalam bidang kuasa telus fiskal,” katanya.
Tambahnya, kontrak tersebut akan mengukuhkan lagi rekod prestasi kumpulan dalam mengendalikan aset pengeluaran kos rendah dan membolehkannya mempelbagaikan aliran hasil merentas pelbagai geografi.
Pada Januari tahun ini, PPSB telah memeterai dua PSC dengan untuk sumber minyak dan gas ditemui di Malaysia melibatkan kluster Meranti di luar pesisir Kuala Terengganu dan Kluster A yang terletak di luar pesisir Miri, Sarawak.
Pada pukul 2:35 petang hari ini, saham DNeX susut 0.5 sen atau 1.2% kepada 43 sen, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM1.36 bilion. - DagangNews.com








