Dialog labur RM374.8 juta kembangkan perniagaan ke dalam sektor bahan kimia khusus di Kuantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog labur RM374.8 juta kembangkan perniagaan ke dalam sektor bahan kimia khusus di Kuantan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Dialog Group Berhad melabur AS$80 juta (RM374.8 juta) untuk mengembangkan perniagaan dalam sektor bahan kimia khusus dengan membangunkan kilang asid malik di Gebeng, Kuantan, Pahang.

 

Menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikatnya Dialog Malic Acid Sdn Bhd akan membina, memiliki dan mengendali kilang asid malik yang terletak di tapak kimia bersepadu yang dikendalikan BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd.

 

“Ini merupakan usaha pertama Dialog dalam pengeluaran bahan kimia khusus dan bertindak sebagai pemangkin untuk Dialog mengembangkan jejaknya dalam sektor ini dengan menghasilkan produk kimia khusus bernilai tinggi,” katanya.

 

Memandangkan asid malik adalah bahan tambahan makanan dalam industri makanan dan minuman (F&B), Dialog berkata cadangan pembangunan kilang tersebut di Malaysia bukan sahaja akan menyokong permintaan yang semakin meningkat di rantau Asia Tenggara, tetapi juga memanfaatkan peluang di seluruh dunia.

 

Menurut Dialog, kilang itu akan membekalkan asid malik yang diperlukan kepada pelanggan dan pengedar utama di Malaysia dan luar negara. Bahan mentah untuk pengeluaran asid malik akan dibekalkan oleh pembekal tempatan.

 

Dialog akan melaksanakan secara dalaman kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kilang dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 12,000 tan metrik setahun itu, yang disasarkan siap pada suku kedua 2026.

 

“Projek untuk membina, memiliki dan mengendalikan kilang kimia khusus yang menghasilkan asid malik akan mengembangkan lagi perniagaan hiliran kami, yang merupakan tambahan kepada usaha sedia ada kami untuk menghasilkan pelet PET kitar semula gred makanan, yang sedang menjalani pentauliahan.

 

“Kedua-dua projek tersebut mewakili pelaburan yang besar untuk mengukuhkan sektor hiliran dan menjana pendapatan berulang jangka panjang tambahan yang mampan kepada kumpulan.

 

“Projek ini juga akan memacu pembangunan sosio-ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan semasa peringkat pembinaan dan operasi,” tambahnya.

 

Kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan pemegang saham besar Dialog dan tidak dijangka mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan, aset bersih dan penggearan kumpulan untuk tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2024 (FY23).

 

Bagaimanapunm katanya, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan kumpulan.

 

Saham Dialog ditutup rendah 1 sen atau 0.5% pada RM2.16 dengan permodalan pasarannya bernilai RM12.2 bilion.  - DagangNews.com