Di sebalik impak negatif Cukai Makmur, untung bersih sektor perbankan diunjur berkembang 4.1% tahun ini | DagangNews Skip to main content

Di sebalik impak negatif Cukai Makmur, untung bersih sektor perbankan diunjur berkembang 4.1% tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Mac - CGS-CIMB Research mengulangi saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan menjangkakan pemulihan pendapatan yang berterusan bagi 2022 hingga 2023. 

 

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, di sebalik impak negatif Cukai Makmur, pertumbuhan untung bersih teras sektor perbankan diunjur berkembang 4.1% tahun ini. 

 

Katanya, ia didorong penurunan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) yang dianggar 16% bagi 2022 dan pemulihan pertumbuhan pendapatan bukan faedah, daripada penurunan 15.2% pada tahun lalu kepada pengembangan 10.2% bagi 2022.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan agregat untung bersih teras pada suku pertama 2022 hampir menyamai paras suku keempat 2021 sebanyak RM6.5 bilion. 

 

"Ini kerana tambahan perbelanjaan cukai di bawah Cukai Makmur akan diimbangi dengan pendapatan bukan faedah yang lebih tinggi pada suku berkenaan (daripada peningkatan pendapatan pelaburan). 

 

"Namun begitu, penurunan untung bersih teras pada suku pertama ini adalah 1 digit bagi tahun ke tahun, diheret turun oleh Cukai Makmur," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut Ng, kelemahan pada suku pertama tersebut dilihat tidak menjejaskan keuntungan bersih bank yang dijangka pulih pada suku berikutanya. 

 

Ini disokong beberapa faktor, antaranya, AMMB Holdings Bhd. dan Alliance Bank Malaysia Bhd. akan menanggung Cukai Makmur sehingga suku pertama (bagi tahun kewangan 31 Mac 2022) dan LLP dijangka menurun. 

 

"Jangkaan kenaikan kadar dasar semalam (OPR) kami pada separuh kedua ini pula akan meningkatkan margin faedah bersih (NIM) bank dan pertumbuhan pendapatan faedah bersih," jelasnya.

 

Beliau berkata, dalam jangka masa yang lebih panjang, mungkin terdapat potensi hapus kira tindanan pengurusan yang disediakan oleh bank untuk risiko kredit COVID-19 jika nisbah pinjaman terjejas kasar bank tidak meningkat dengan ketara dalam tahun ini.

 

"Walaupun bank-bank Malaysia mempunyai pendedahan langsung yang boleh diabaikan dalam konflik 
Rusia-Ukraine, tetapi, kami percaya bank-bank akan merasai beberapa kesan tidak langsung jika harga tenaga dan bahan mentah kekal lebih tinggi untuk tempoh masa yang panjang kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi global," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu meletakkan Hong Leong Bank Bhd., RHB Bank Bhd. dan Public Bank Bhd. sebagai pilihan utama dalam sektor perbankan.

 

Ia memberi saranan 'tambah' terhadap ketiga-tiga bank tersebut dengan harga sasaran masing-masing pada RM21.80, RM7 dan RM5. - DagangNews.com